- Iklan -
Luar Sana

Trump saman bekas peguam Michael Cohen sebanyak AS$500 juta

Cohen adalah antara saksi yang memberi keterangan di hadapan juri besar yang akhirnya membuat pertuduhan ke atas Trump, menjadikannya bekas presiden AS pertama menghadapi tuduhan jenayah.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas peguam kepada Donald Trump, Michael Cohen tiba di Mahkamah New York di New York, 15 Mac. Gambar: Reuters
Bekas peguam kepada Donald Trump, Michael Cohen tiba di Mahkamah New York di New York, 15 Mac. Gambar: Reuters

Donald Trump memfailkan saman terhadap bekas peguam peribadinya Michael Cohen, yang berkemungkinan akan menjadi saksi utama dalam kes jenayah dihadapi bekas presiden Amerika Syarikat (AS) itu di New York. 

Saman itu difailkan di Mahkamah Daerah Florida, bagi menuntut AS$500 juta (RM2.2 bilion) daripada Cohen kerana didakwa melanggar ketetapan khas peguam-pelanggan dan perjanjian kerahsiaan. 

Cohen adalah antara saksi yang memberi keterangan di hadapan juri besar yang akhirnya membuat pertuduhan ke atas Trump, menjadikannya bekas presiden AS pertama menghadapi tuduhan jenayah.

Trump didakwa atas 34 pertuduhan jenayah memalsukan rekod perniagaan berkaitan pembayaran wang sebagai dorongan “menutup mulut” kepada pelakon filem lucah Stormy Daniels. 

Cohen berkata beliau mengatur pembayaran AS$130,000 sebagai dorongan kepada pelakon tersebut supaya berdiam diri berhubung kesnya pada 2006.

Trump bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di Mahkamah Manhattan pada 4 April lalu. 

Dalam tuntutan mahkamahnya, Trump menuduh Cohen "menyebarkan fakta palsu" mengenainya dan mendakwa telah “mencalarkan reputasinya”.

"Tindakan tidak wajar dan secara berterusan oleh (Cohen) telah melampaui batas dan membiarkan (Trump) tidak mempunyai alternatif selain untuk mendapatkan penyelesaian undang-undang," kata saman itu. 

Trump menuntut perbicaraan dan pampasan ganti rugi dan punitif lebih AS$500 juta.

Bekas hartawan hartanah berusia 76 tahun itu terlibat dalam pelbagai tindakan undang-undang sejak beberapa dekad lalu dan mempunyai sejarah menyerang lawannya di mahkamah.

Cohen, 56, dijangka menjadi saksi utama bagi pihak pendakwaan jika kes jenayah terhadap Trump di Manhattan dibicarakan. 

Beliau telah mengakui membayar Daniels bagi pihak Trump dan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun atas pelbagai kesalahan jenayah, termasuk kes membayar wang “menutup mulut” dan pengelakan cukai. 

Trump telah menafikan sebarang salah laku dan mendakwa beliau adalah mangsa "pemburuan musuh" politik oleh peguam Manhattan, seorang ahli Demokrat, yang bertujuan untuk menggagalkan kempen pilihan raya presiden beliau pada 2024.