- Iklan -
Luar Sana

Mahkamah Sweden batal larangan protes bakar al-Quran

Ini kerana terdapat kebimbangan risiko keselamatan tidak mencukupi untuk mengehadkan hak untuk berdemonstrasi.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Penunjuk perasaan melaungkan slogan ketika mereka berdemonstrasi di hadapan Konsulat Jeneral Sweden selepas Rasmus Paludan, pemimpin politik sayap kanan negara itu membakar naskhah al-Quran berhampiran kedutaan Turkiye di Stockholm, di Istanbul, Turkiye, 22 Januari. Gambar: Reuters
Penunjuk perasaan melaungkan slogan ketika mereka berdemonstrasi di hadapan Konsulat Jeneral Sweden selepas Rasmus Paludan, pemimpin politik sayap kanan negara itu membakar naskhah al-Quran berhampiran kedutaan Turkiye di Stockholm, di Istanbul, Turkiye, 22 Januari. Gambar: Reuters

Mahkamah Sweden pada Selasa membatalkan tindakan polis untuk mengharamkan dua protes membakar al-Quran.

Pembatalan itu dibuat walaupun lima suspek Islam sudah ditangkap kerana merancang "tindakan pengganas" berhubung demonstrasi yang sama.

Pembakaran kitab suci Islam di luar kedutaan Turkiye di Stockholm pada Januari lalu menimbulkan kemarahan dunia sehingga mencetuskan protes berminggu-minggu serta terdapat gesaan untuk memboikot barangan Sweden dan menyekat tawaran keanggotaan negara itu ke dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

Polis Sweden kemudian mengharamkan dua protes yang sama dirancang pada Februari susulan kebimbangan keselamatan. 

Namun, Mahkamah Pentadbiran Stockholm membatalkan keputusan itu pada Selasa kerana terdapat kebimbangan risiko keselamatan tidak mencukupi untuk mengehadkan hak untuk berdemonstrasi.

"Pihak berkuasa polis tidak mempunyai sokongan yang mencukupi untuk keputusannya," kata hakim Eva-Lotta Hedin ketika membacakan keputusan itu yang secara teorinya boleh menyebabkan lebih banyak protes sedemikian.

Jurucakap polis Ola Osterling memberitahu agensi berita TT bahawa pihaknya belum memutuskan sama ada mahu merayu keputusan itu atau tidak, namun "kami masih menganggap keputusan kami adalah betul". 

Polis Sweden pada Januari lalu membenarkan protes yang dianjurkan oleh seorang ahli politik sayap kanan Sweden, Rasmus Paludan. Beliau telah didakwa kerana mencetuskan api perkauman.

Paludan juga mencetuskan rusuhan di Sweden tahun lalu ketika melakukan jelajah ke seluruh negara dan membakar naskhah al-Quran secara terbuka. 

Bagaimanapun, polis kemudian enggan membenarkan dua permintaan lain, oleh individu persendirian dan sebuah organisasi untuk membakar al-Quran di luar kedutaan Turki dan Iraq di Stockholm pada Februari. 

Menurut polis, protes pada Januari menjadikan Sweden sebagai "sasaran utama untuk diserang".

'Kebebasan bersuara' 

Pembakaran Al-Quran oleh Paludan juga merosakkan hubungan Sweden dengan Turkiye, yang melakukan kesalahan tertentu selepas polis membenarkan demonstrasi itu. 

Ankara telah menyekat permohonan ratifikasi Sweden ke dalam Nato kerana menganggap Stockholm gagal untuk membanteras kumpulan Kurdish yang dilihatnya sebagai "pengganas". 

“Adalah jelas bahawa mereka yang menyebabkan aib seperti itu di hadapan kedutaan negara kita tidak lagi boleh mengharapkan sebarang kebaikan daripada kami berhubung permohonan mereka untuk menjadi ahli Nato,” kata Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pada Januari. 

Ahli politik Sweden mengkritik aktiviti membakar al-Quran itu, tetapi dalam pada masa yang sama tegas mempertahankan hak kebebasan bersuara.