- Iklan -
Berita

Polis siasat pemimpin DAP guna ayat al-Quran gesa umat Islam sokong kerajaan

Ahli Parlimen Ipoh Timur dari DAP Howard Lee memuat naik video yang memetik ayat menyeru umat Islam supaya mematuhi mereka yang berkuasa.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Tangkap layar video Ahli Parlimen Ipoh Timur dari DAP, Howard Lee, di TikTok yang menggesa umat Islam menyokong kerajaan ketika ini.
Tangkap layar video Ahli Parlimen Ipoh Timur dari DAP, Howard Lee, di TikTok yang menggesa umat Islam menyokong kerajaan ketika ini.

Tindakan seorang pemimpin DAP menggunakan ayat al-Quran untuk menggesa umat Islam menyokong kerajaan campuran menyebabkan laporan polis dibuat terhadapnya, menggesa siasatan kerana menghina Islam dengan menyalahtafsir petikan al-Quran.

Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee Chuan How memuat naik video di TikTok, di mana beliau memetik ayat 59 Surah an-Nisa, yang antara lain berbunyi: "Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan Ulul Amri (pemegang kekuasaan) di antara kamu.”

"Ayat suci ni. Hakikatnya, semua propaganda nak angkat Islam, angkat agama, bangsa dan negara atas nama agama, semuanya ikut deme (kamu), semata-mata sebenarnya nak raih undi," kata Lee dalam video berdurasi empat minit itu.

Beliau menghina PAS dan menuduh presidennya Abdul Hadi Awang menunggang agama, sambil memetik ayat untuk memberitahu umat Islam tentang kewajipan mereka untuk menyokong kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

"Malaysia Madani yang berteraskan prinsip kepelbagaian dan kemajmukan bangsa, keturunrnan dan budaya, jelas menjadi ancaman kepada Hadi dan Hadi tak boleh terima yang orang lain boleh menghidupkan perpaduan macam Madinah al-Munawwarah," katanya, merujuk kepada pentadbiran Islam yang diperkenalkan oleh Nabi Muhammad.

Lee menuduh Hadi dan pemimpin PAS yang mempersoalkan kerajaan sekarang sebagai antara "Khawarij", label yang sering digunakan pada pelampau Islam yang menyimpang daripada ajaran Islam.

Klip video itu mendapat kritikan daripada warga maya serta pemimpin PAS, yang kebanyakannya mengingatkan Lee bahawa ketaatan kepada pemimpin adalah bersyarat.

Semalam, kumpulan dikenali sebagai Jalinan Bersatu Sahabat (Jabat) membuat laporan polis terhadap Lee. 

Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan kes itu disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.