- Iklan -
Berita

‘Saya bertalaqqi dengan orang alim’, Howard Lee dari DAP jawab isu petik ayat al-Quran

Ahli Parlimen kerajaan itu senada dengan Ahli Majlis Tertinggi Umno Asyraf Wajdi Dusuki yang berkata PAS tidak menentang pemimpin DAP yang memetik ayat-ayat al-Quran pada masa lalu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Ipoh Timur dari DAP, Howard Lee (tengah), bercakap dalam sidang media selepas memberi keterangan kepada polis hari ini, 26 September.
Ahli Parlimen Ipoh Timur dari DAP, Howard Lee (tengah), bercakap dalam sidang media selepas memberi keterangan kepada polis hari ini, 26 September.

Pemimpin DAP, Howard Lee mempertahankan dirinya selepas didakwa memetik dan mengulas ayat al-Quran secara salah untuk tujuan politik, mengatakan beliau sudah berjumpa orang alim dan ustaz mengenai perkara itu. 

“Bukan saja buat kajian saya sendiri. Saya bertalaqqi dengan orang alim, telah bermuzakarah dengan beberapa orang yang alim, beberapa orang ustaz," kata ahli Parlimen Ipoh Timur itu kepada pemberita hari ini.

Lee juga menafikan dakwaan beliau mentafsir al-Quran, sambil mengatakan beliau hanya memetik daripada kitab suci itu.

"Saya guna istilah memetik kerana tuduhannya saya menafsir. Saya tidak menafsir, saya hanya memetik ayat itu."

Lee, yang baru pulang sebagai delegasi Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, berkata beliau sudah memberikan keterangan kepada pihak polis mengenai perkara itu. 

Satu laporan polis dibuat terhadapnya berhubung video TikTok di mana beliau memetik ayat 59 Surah an-Nisa dalam al-Quran yang antara lain berbunyi: "Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan Ulul Amri (pemegang kekuasaan) di antara kamu.”

"Ayat suci ni. Hakikatnya, semua propaganda nak angkat Islam, angkat agama, bangsa dan negara atas nama agama, semuanya ikut deme (kamu), semata-mata sebenarnya nak raih undi," kata Lee dalam video berdurasi empat minit itu.

Dalam video itu, Lee juga membidas PAS dan menuduh presidennya Abdul Hadi Awang menunggang agama, sambil memetik ayat untuk memberitahu umat Islam tentang kewajipan mereka untuk menyokong kerajaan Anwar.

Klip video itu menimbulkan kritikan pedas terhadap pemimpin DAP itu di media sosial malah pemimpin PAS termasuk Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang membandingkan tindakan Lee dengan Basuki Tjahaja Purnama dari Indonesia, bekas gabenor Kristian Jakarta yang dihukum penjara selepas beliau memetik ayat al-Quran untuk mengecam pengkritiknya. 

Lee dalam kenyataannya hari ini menuduh pengkritiknya cuba mencetuskan ketegangan, sambil menambah beliau menerima ugutan bunuh, namun beliau memilih untuk tidak membuat laporan polis mengenai perkara ini. 

Beliau turut senada dengan Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki yang berkata PAS yang menggalakkan pemimpin DAP mempelajari al-Quran ketika kedua-dua parti itu bersekutu dalam Pakatan Rakyat.

"Mengapa dahulu sewaktu DAP pernah satu ketika dahulu dalam satu wadah dengan PAS, boleh sahaja, malah digalakkan belajar al Quran," katanya sambil menambah beliau memohon maaf atas tindakannya itu.

Asyraf sebelum ini berkata beliau sudah menegur Lee supaya tidak memetik ayat al-Quran dalam perbincangan politik pada masa akan datang.