- Iklan -
Luar Sana

Mahkamah Dunia putus AS secara tidak sah beku beberapa aset Iran

Hubungan dua negara itu kembali tegang selepas percubaan untuk memulihkan perjanjian nuklear 2015 antara Iran dan kuasa besar dunia terhenti, serta dron milik Iran digunakan oleh Rusia terhadap Ukraine.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Bangunan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda 11 Disember 2019. Gambar: Reuters
Bangunan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda 11 Disember 2019. Gambar: Reuters

Hakim di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Khamis memutuskan bahawa Washington secara tidak sah membenarkan mahkamah membekukan aset beberapa syarikat Iran dan mengarahkan negara itu membayar pampasan tetapi jumlah itu akan ditentukan kemudian. 

Bagaimanapun, dalam tamparan untuk Tehran, ICJ berkata ia tidak mempunyai bidang kuasa ke atas AS$1.75 bilion (kira-kira RM7.7 bilion) dalam aset dibekukan daripada bank pusat Iran. 

Pemangku Penasihat Undang-undang Rich Visek dari Jabatan Negara AS dalam satu kenyataan berkata keputusan itu menolak "sebahagian besar kes Iran" terutamanya yang melibatkan aset bank pusat. 

"Ini adalah kemenangan besar bagi AS dan mangsa keganasan tajaan Iran," tambah Visek. 

Dalam akaun Twitternya, Kementerian Luar Iran, berkata keputusan itu adalah bukti “pencabulan dan hak Iran oleh kerajaan AS".

Keputusan itu dibuat di tengah-tengah ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran selepas serangan “tit-for-tat” membabitkan tentera yang disokong Iran dan kakitangan AS di Syria minggu lalu. 

Hubungan tegang selepas percubaan untuk memulihkan perjanjian nuklear 2015 antara Iran dan kuasa besar dunia terhenti, serta ketika dron Iran digunakan oleh Rusia terhadap Ukraine. 

Kes di hadapan ICJ, yang juga dikenali sebagai Mahkamah Dunia, pada mulanya dibawa oleh Tehran terhadap Washington pada 2016 kerana didakwa melanggar perjanjian persahabatan 1955 dengan membenarkan mahkamah AS membekukan aset syarikat Iran. 

Wang itu akan diberikan sebagai pampasan kepada mangsa serangan pengganas. 

Republik Islam bagaimanapun menafikan memberi sokongan terhadap aktiviti keganasan antarabangsa. 

Perjanjian persahabatan 1950-an ditandatangani lama sebelum Revolusi Islam Iran 1979, yang menggulingkan pemimpin disokong AS, dan seterusnya memutuskan hubungan AS-Iran.