- Iklan -
Luar Sana

Parti Kongres lancar protes jalanan terhadap sabitan ke atas Gandhi

Rahul Gandhi didapati bersalah atas ucapannya pada 2019 yang mana beliau mengaitkan perkataan pencuri kepada nama keluarga Modi.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Penyokong sayap Pemuda Kongres memegang pelekat-pelekat semasa protes secara aman terhadap sabitan ke atas Rahul Gandhi, presiden parti pembangkang utama India, dalam kes fitnah 2019 di Mumbai, 23 Mac. Gambar: Reuters
Penyokong sayap Pemuda Kongres memegang pelekat-pelekat semasa protes secara aman terhadap sabitan ke atas Rahul Gandhi, presiden parti pembangkang utama India, dalam kes fitnah 2019 di Mumbai, 23 Mac. Gambar: Reuters

Ahli parti Kongres yang juga pembangkang utama India akan turun ke jalanan pada Jumaat untuk membantah sabitan terhadap pemimpin Rahul Gandhi kerana memfitnah, kata pegawai parti berkenaan sehari selepas mahkamah majistret menjatuhkan hukuman penjara dua tahun kepada Gandhi. 

Gandhi, 52, didapati bersalah atas ucapannya pada 2019 yang mana beliau mengaitkan perkataan pencuri kepada nama keluarga Modi.

Beliau membuat komen itu semasa berkempen menjelang pilihan raya umum lalu untuk membongkar dasar ekonomi Perdana Menteri Narendra Modi. 

Beliau disabitkan bersalah oleh mahkamah di Gujerat, yang turut memberinya jaminan dan menangguhkan hukuman selama sebulan. 

Ini memberi tempoh kepada Gandhi untuk merayu tetapi beliau hilang kelayakan serta-merta sebagai ahli Parlimen berikutan sabitan itu. 

Dua pemimpin kanan Kongres memberitahu Reuters bahawa Gandhi akan menghormati keputusan mahkamah tempatan dan tidak akan menghadiri Parlimen.

"Faktanya adalah beliau hilang kelayakan buat masa ini tetapi kami akan mencabar sabitan di mahkamah untuk memastikan beliau boleh menghadiri persidangan Parlimen," kata seorang ahli Parlimen persekutuan yang juga ketua parti Kongres. 

Sidang Parlimen ketika ini bermula pada 31 Januari dan dijadualkan berakhir pada 6 April. 

Pegawai dalam parti Kongres berkata mereka juga bergantung kepada parti pembangkang serantau untuk merangsang sokongan politik terhadap keputusan itu. 

"Ia adalah ujian politik kritikal untuk Gandhi dan kami bergantung kepada parti serantau untuk menyokong Kongres dan menentang parti Modi," kata seorang pemimpin kanan kedua parti itu yang enggan namanya didedahkan.

Pejabat presiden mengesahkan bahawa pemimpin Kongres meminta pertemuan dengan Presiden Draupadi Murmu untuk mengemukakan bantahan terhadap sabitan itu dengan eksekutif tertinggi Perlembagaan.