- Iklan -
Luar Sana

Beijing alami penurunan populasi pertama sejak 2003

Ini selaras dengan trend negara, dengan penduduk China merosot tahun lepas buat kali pertama dalam enam dekad, berpunca daripada peningkatan kos sara hidup, pertumbuhan ekonomi yang lemah, dan perubahan sikap terhadap meningkatkan jumlah ahli keluarga.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai berjalan ketika ribut pasir melanda di sebuah taman di Beijing, China, 22 Mac. Gambar: Reuters
Orang ramai berjalan ketika ribut pasir melanda di sebuah taman di Beijing, China, 22 Mac. Gambar: Reuters

Kadar kematian di Beijing melebihi kadar kelahirannya pada 2022, demikian menurut data rasmi pada Selasa, mendorong pertumbuhan populasi semula jadinya ke wilayah negatif buat kali pertama sejak 2003. 

Berdasarkan statistik rasmi dikeluarkan oleh kerajaan Beijing menunjukkan, kadar kematian di bandar yang dihuni 21.84 juta penduduk itu, meningkat kepada 5.72 kematian bagi setiap 1,000 orang manakala kadar kelahiran turun kepada 5.67 kelahiran bagi setiap 1,000 orang.

Penurunan populasi Beijing adalah selaras dengan trend negara, dengan populasi China merosot tahun lepas buat kali pertama dalam tempoh enam dekad, berpunca daripada peningkatan kos sara hidup terutamanya di bandar-bandar besar seperti Beijing, pertumbuhan ekonomi yang lemah dan perubahan sikap terhadap meningkatkan jumlah ahli keluarga. 

"Angka-angka ini sudah dijangka, terutamanya di Beijing," kata Xiujian Peng, felo penyelidik kanan di Pusat Kajian Dasar di Universiti Victoria, Australia. 

Katanya, kadar kelahiran di Beijing dan bandar dan wilayah lain dikira berdasarkan penduduk tetap dan tidak termasuk migran.

"Memandangkan kos sara hidup dan pendidikan yang tinggi serta tahap pendidikan di Beijing, adalah perkara biasa bahawa kadar kelahiran bagi pemastautin tetap adalah rendah," katanya sambil menambah bahawa angka ini adalah konsisten dengan purata negara. 

Langkah kerajaan China menarik balik sekatan ketat Covid-19 di seluruh negara pada awal Disember mencetuskan gelombang jangkitan dan menyebabkan jumlah kematian yang tidak diketahui.

Pertumbuhan penduduk semula jadi Beijing ialah -0.05 setiap 1,000 orang tahun lepas. 

Data itu berdasarkan tinjauan sampel yang bermula pada 1 November, menurut nota kaki dalam keluaran, yang tidak menyatakan berapa lama tinjauan itu diambil. 

Kadar kelahiran China tahun lalu ialah 6.77 kelahiran bagi setiap 1,000 orang, terendah dalam rekod, manakala kadar kematian negara itu, tertinggi sejak 1974, ialah 7.37 kematian bagi setiap 1,000 orang.

Bimbang dengan populasi China yang semakin berkurangan, penasihat politik kepada kerajaan mengemukakan lebih 20 cadangan untuk meningkatkan kadar kelahiran, walaupun pakar mengatakan langkah terbaik yang boleh mereka ambil ialah dengan memperlahankan penurunan populasi.