- Iklan -
Luar Sana

Canselor Jerman tidak nampak risiko krisis kewangan di Eropah susulan keruntuhan SVB

Pemimpin Jerman itu berkata beliau tidak menjangkakan perkembangan terkini dalam sektor perbankan global memberi kesan serius kepada pendeposit Jerman.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki meletakkan papan tanda di pintu masuk bangunan ibu pejabat Silicon Valley Bank di Santa Clara, California, 10 Mac. Gambar: Reuters
Seorang lelaki meletakkan papan tanda di pintu masuk bangunan ibu pejabat Silicon Valley Bank di Santa Clara, California, 10 Mac. Gambar: Reuters

Canselor Jerman Olaf Scholz pada Khamis berkata beliau tidak melihat risiko krisis kewangan baharu di Jerman dan Eropah selepas kejatuhan Bank Silicon Valley di Amerika Syarikat (AS) dan keadaan tidak menentu dalam bank pelaburan global Credit Suisse yang berpangkalan di Switzerland.

"Saya tidak nampak bahayanya. Sistem monetari tidak lagi rapuh seperti sebelum krisis kewangan [2008]," kata Scholz kepada akhbar Handelsblatt.

Pemimpin Jerman itu berkata beliau tidak menjangkakan perkembangan terkini dalam sektor perbankan global memberi kesan serius kepada pendeposit Jerman, lapor Sputnik

"Deposit penyimpan Jerman selamat. Bukan sahaja disebabkan oleh peningkatan daya tahan sistem perbankan dan peraturan yang lebih ketat malah pengukuhan kuasa ekonomi kita," kata Scholz.

Minggu lepas, pengawal selia California menutup Silicon Valley Bank (SVB), bank terbesar AS yang ditutup sejak krisis kewangan 2008. Masalah SVB dipercayai berkait dengan kenaikan kadar faedah oleh Sistem Rizab Persekutuan yang menyebabkan kemerosotan nilai aset dalam kunci kira-kira kebanyakan institusi kewangan selain pengurusan risiko yang lemah.

Pada Ahad, pihak berkuasa menutup Signature Bank yang berpangkalan di New York kerana risiko sistemik dengan ia merupakan kegagalan bank yang ketiga terbesar dalam sejarah AS.

Pada Rabu, harga saham Credit Suisse menjunam hampir 30% sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai masalah mudah tunai. Pihak Berkuasa Penyeliaan Pasaran Kewangan Switzerland pada hari yang sama berkata Credit Suisse memenuhi keperluan kecairan dan Bank Negara Switzerland akan menyediakan mudah tunai jika perlu.

Pada hari Khamis, Credit Suisse mengumumkan penjualan aset lebih AS$3 bilion dengan Majlis Persekutuan Switzerland mengadakan mesyuarat tergempar pada Khamis untuk membincangkan situasi itu.