- Iklan -
Luar Sana

Bekas PM Pakistan Imran Khan dakwa rumahnya diserang pasukan keselamatan

Polis Pakistan dan pasukan Renjer mengepung rumah beliau untuk menangkapnya.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang pegawai polis melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan penyokong bekas perdana menteri Pakistan Imran Khan, semasa pertempuran menjelang kemungkinan penahanan beliau di luar rumahnya, di Lahore, Pakistan 14 Mac. Gambar: Reuters
Seorang pegawai polis melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan penyokong bekas perdana menteri Pakistan Imran Khan, semasa pertempuran menjelang kemungkinan penahanan beliau di luar rumahnya, di Lahore, Pakistan 14 Mac. Gambar: Reuters

Bekas perdana menteri Pakistan Imran Khan pada Rabu berkata rumahnya diserang apabila pasukan separa tentera bertembung dengan penyokongnya di bandar Lahore.

Polis Pakistan dan pasukan Renjer mengepung rumah Imran untuk menangkapnya.

Anggota partinya Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) berkumpul beramai-ramai di Zaman Park Lahore untuk menghalangnya daripada ditangkap oleh pasukan keselamatan.

"Rumah saya telah diserang sejak petang semalam. Serangan terbaru oleh pasukan Rangers, menyebabkan anggota parti terpaksa menentang tentera. Inilah yang PDM (Pergerakan Demokratik Pakistan, pakatan pelbagai parti menentang Imran) dan musuh Pakistan mahukan," menurut Imran dalam catatan di media sosial pada Rabu.

“Tiada iktibar daripada tragedi Pakistan Timur,” kata bekas perdana menteri itu merujuk kepada perpecahan negara itu pada 1971 yang mengakibatkan pewujudkan Bangladesh.

Imran digulingkan pada April tahun lepas dalam undi tidak percaya PDM di Dewan Negara.

Sejak itu, PTI dan kerajaan sentiasa bergolak untuk berebut kuasa dengan Imran terus mengetuai perhimpunan besar-besaran untuk menuntut pilihan raya umum baharu.

Keadaan semakin meruncing sejak beberapa hari kebelakangan ini apabila polis bertindak untuk menangkap Imran berhubung beberapa kes undang-undang yang dilabelkan oleh PTI sebagai bermotifkan politik.