- Iklan -
Luar Sana

Rusia tawan timur Bakhmut

Setiausaha agung Nato berkata Rusia, walau mengalami kerugian besar, sedang mengerahkan lebih ramai askar.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Anggota tentera Ukraine berjalan di sepanjang jalan berlumpur dekat barisan depan Bakhmut di tengah-tengah serangan Rusia di wilayah Donetsk, Ukraine 8 Mac. Gambar: Reuters
Anggota tentera Ukraine berjalan di sepanjang jalan berlumpur dekat barisan depan Bakhmut di tengah-tengah serangan Rusia di wilayah Donetsk, Ukraine 8 Mac. Gambar: Reuters

Ketua kumpulan tentera upahan Wagner Rusia pada Rabu berkata askarnya menawan semua bahagian timur Bakhmut, dan setiausaha agung Nato berkata seluruh bandar Ukraine itu boleh jatuh ke tangan tentera penceroboh dalam beberapa hari akan datang.

Namun sebagai salah satu pertempuran paling berdarah di medan perang sejak setahun lebih, pertahanan Ukraine - yang minggu lalu kelihatan bersiap sedia untuk berundur dari Bakhmut - kekal melawan.

Pemimpin tentera dan politik Ukraine kini bercakap tentang bertahan selain mahu menyebabkan sebanyak mungkin kemusnahan kepada pihak Rusia bagi mengurangkan keupayaan tempur mereka.

Jeneral tentera Ukraine berkata dalam laporan pagi Rabu: "Musuh, walaupun mengalami kerugian besar, terus menyerbu bandar Bakhmut."

Ketua Wagner, Yevgeny Prigozhin berkata tenteranya kini sudah menawan timur bandar itu. Jika benar, ini bermakna tentera Rusia kini menguasai hampir separuh bandar dalam usaha untuk memastikan kemenangan besar pertama mereka sejak beberapa bulan.

"Semua bahagian timur Sungai Bakhmutk berada di bawah kawalan Wagner sepenuhnya," kata Prigozhin di Telegram.

Sungai itu membelah Bakhmut, yang terletak di pinggir wilayah Donetsk di Ukraine di mana sebahagian besarnya sudah berada di bawah pendudukan Rusia. Pusat bandar terletak di sebelah barat sungai.

Reuters tidak dapat mengesahkan keadaan di medan perang.

Bercakap sebelum mesyuarat menteri-menteri pertahanan Kesatuan Eropah di Stockholm, Setiausaha Agung Nato Jens Stoltenberg berkata Rusia sedang mengerahkan lebih ramai tentera ke dalam pertempuran itu.

"Mereka mengalami kerugian besar, tetapi pada masa sama kita tidak boleh menolak Bakhmut akhirnya akan tumbang," kata Stoltenberg.

Ini tidak semestinya menjadi titik perubahan dalam perang, tambahnya, tetapi ia menunjukkan "kita tidak boleh memandang rendah Rusia".