- Iklan -
Luar Sana

Iran tahan suspek racun murid ketika kes meningkat lebih 5,000

Suspek didakwa guna anak masukkan 'bahan merengsa' ke dalam sekolah sebelum merakam video dan dikongsi kepada 'media musuh' untuk 'mencipta ketakutan... dan menutup sekolah', menurut kementerian dalam negeri.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Kelihatan seseorang dimasukkan ke dalam ambulans di luar sebuah sekolah perempuan selepas laporan keracunan di Ardabil, Iran dalam imej daripada video tidak bertarikh yang diterbitkan pada 1 Mac. Gambar: Reuters
Kelihatan seseorang dimasukkan ke dalam ambulans di luar sebuah sekolah perempuan selepas laporan keracunan di Ardabil, Iran dalam imej daripada video tidak bertarikh yang diterbitkan pada 1 Mac. Gambar: Reuters

Iran pada Selasa mengumumkan penahanan pertama susulan kes "racun misteri" yang menjejaskan lebih 5,000 murid sejak akhir November.

Pemimpin tertinggi Ayatollah Ali Khamenei pada Isnin menyeru supaya pelaku "jenayah yang tidak boleh dimaafkan" dicari "tanpa belas kasihan" ketika kemarahan rakyat memuncak.

Kementerian dalam negeri dalam satu kenyataan pada Selasa berkata "sebilangan orang" yang disyaki menghasilkan bahan berbahaya sudah ditangkap di enam wilayah, termasuk ibu bapa seorang murid.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Iran Majid Mirahmadi memberitahu televisyen negara pada Selasa bahawa "agensi perisikan" sedang membuat beberapa tangkapan, "dan agensi berkaitan sedang menjalankan siasatan penuh".

Sebilangan besar sekolah Iran dilanda keracunan sejak akhir November, dengan murid mengalami gejala dari sesak nafas hingga loya dan vertigo selepas melaporkan bau "tidak menyenangkan" di kawasan sekolah. Ada yang terpaksa dimasukkan ke hospital.

“Seramai 25 (daripada 31) wilayah dan kira-kira 230 sekolah terjejas, dan lebih 5,000 murid perempuan dan lelaki diracun,” Mohammad-Hassan Asafari, ahli jawatankuasa pencari fakta parlimen, memberitahu agensi berita Isna pada Isnin .

"Pelbagai ujian sedang dijalankan bagi mengenal pasti jenis dan punca keracunan. Setakat ini, tiada maklumat khusus diperoleh berhubung jenis racun yang digunakan."

Keracunan misteri mencetuskan gelombang kemarahan dan tuntutan tindakan daripada pihak berkuasa.

Menurut kenyataan kementerian dalam negeri, tangkapan dibuat di wilayah Khuzestan, Azerbaijan Barat, Fars, Kermanshah, Khorasan dan Alborz.

Salah seorang daripada mereka yang ditahan didakwa menggunakan anak mereka untuk memasukkan "bahan yang merengsa" ke dalam sekolah, dan kemudian merakam video pelajar yang sakit sebelum dikongsi kepada "media musuh" untuk "mencipta ketakutan... dan menutup sekolah", kata kenyataan itu.

Tambahnya tiga suspek mempunyai rekod jenayah "termasuk penglibatan dalam rusuhan baru-baru ini", istilah yang digunakan oleh pihak berkuasa Iran untuk menggambarkan protes dicetuskan oleh kematian Mahsa Amini.

Amini, 22, ditahan atas dakwaan melanggar peraturan ketat pakaian wanita dan meninggal dunia pada 16 September ketika dalam tahanan.