- Iklan -
Luar Sana

Harga makanan terutamanya makanan bayi melambung tinggi di Sweden

Tinjauan terhadap kira-kira 44,000 barangan mendapati harga makanan meningkat sebanyak 2.5% pada Februari, peningkatan bulanan tertinggi sejak 2015, menurut laporan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Harga produk makanan bayi di Sweden meningkat secara purata sebanyak 10.8% daripada Januari, menurut tinjauan. Gambar: Reuters
Harga produk makanan bayi di Sweden meningkat secara purata sebanyak 10.8% daripada Januari, menurut tinjauan. Gambar: Reuters

Peningkatan harga makanan mencatatkan rekod di Sweden terutamanya untuk produk makanan bayi, menurut satu tinjauan, lapor Xinhua.

Tinjauan terhadap kira-kira 44,000 barangan itu mendapati harga makanan meningkat sebanyak 2.5% pada Februari - peningkatan bulanan tertinggi sejak 2015, lapor agensi TT.

Harga produk makanan bayi meningkat secara purata sebanyak 10.8% daripada Januari.

"Ramai keluarga tidak dapat menampung kehidupan dan menjadi masalah yang perlu ditangani oleh ahli politik, terutamanya bagi ibu bapa tunggal..." kata pengasas dan pengarah urusan Matpriskollen, Ulf Mazur.

Hasil tinjauan turut menunjukkan harga makanan meningkat sebanyak 17.8% tahun ke tahun pada Februari.

Berikutan inflasi yang kian berleluasa, ramai rakyat Sweden sudah mula mengubah tabiat pembelian, lapor Televisyen Sweden (SVT) baru-baru ini.

"Hampir lapan daripada 10 rakyat telah membuat perubahan, apa dan berapa banyak yang mereka beli," kata ahli ekonomi di Swedbank, Arturo Arques.

Arques berkata kira-kira 20% daripada 3,100 pengguna mempunyai margin kewangan yang sangat tipis, menyebabkan peningkatan harga makanan menambahkan lagi beban kepada mereka.

“Golongan paling terjejas ialah mereka yang menganggur, pelajar, warga emas dengan pencen yang rendah, mereka yang bercuti sakit dan ibu bapa tunggal - terutamanya wanita," kata Arques.

Menurut data terkini yang dikeluarkan oleh Statistics Sweden pada Februari, inflasi 12 bulan yang diukur oleh Indeks Harga Pengguna (CPI) berada pada 11.7% pada Januari.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.