- Iklan -
Luar Sana

Polis Pakistan keluarkan waran tangkap kepada bekas PM Imran Khan

Suruhanjaya pilihan raya Pakistan pada Oktober mendapati Khan, 70, bersalah kerana menjual hadiah daripada orang kenamaan asing secara tidak sah ketika menjadi perdana menteri.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Pakistan Imran Khan bersama penyokongnya ketika beliau keluar daripada Mahkamah Tinggi Lahore, di Pakistan 20 Februari. Gambar: Reuters
Bekas perdana menteri Pakistan Imran Khan bersama penyokongnya ketika beliau keluar daripada Mahkamah Tinggi Lahore, di Pakistan 20 Februari. Gambar: Reuters

Polis Pakistan pada Ahad mengeluarkan waran tangkap kepada bekas perdana menteri Imran Khan bagi memastikan beliau hadir di mahkamah atas tuduhan menyalahgunakan pejabatnya untuk menjual hadiah negara, kata pihak berkuasa, selepas penyokong Khan cuba menghalang polis masuk ke rumahnya.

Suruhanjaya pilihan raya Pakistan pada Oktober mendapati tokoh kriket berusia 70 tahun yang kemudiannya menjadi ahli politik itu bersalah kerana menjual hadiah daripada orang kenamaan asing secara tidak sah.

Agensi Siasatan Persekutuan kemudian memfailkan pertuduhan terhadapnya di mahkamah antirasuah, yang minggu lalu mengeluarkan waran tangkap selepas Khan gagal hadir di mahkamah walaupun saman dikenakan berulang kali.

Khan menuntut pilihan raya segera sejak disingkirkan daripada jawatan dalam undian di parlimen awal tahun lalu, tuntutan yang kemudiannya ditolak oleh penggantinya Shehbaz Sharif yang berkata pilihan raya akan diadakan seperti yang dijadualkan akhir tahun ini.

Beliau kemudiannya mengetuai kempen protes di seluruh negara untuk mendesak pilihan raya awal tahun lalu malah ditembak dan cedera dalam salah satu perhimpunan.

Merujuk kepada ketidakhadirannya di mahkamah dan insiden tembakan, Khan berkata pada Ahad: "Mereka (polis) tahu ada ancaman terhadap nyawa saya," sambil menambah bahawa mahkamah tidak menyediakan keselamatan yang cukup.

Pembantu Khan, Fawad Chaudhry berkata beliau tidak boleh ditangkap kerana mendapat jaminan perlindungan mahkamah tinggi.

Chaudhry berkata kerajaan mahu menyemai kekacauan politik dan mengelak pilihan raya awal dengan menangkap bekas perdana menteri itu, yang masih popular dalam kalangan belia dan pengundi bandar di negara ini.

Polis Islamabad berkata dalam satu kenyataan mereka menyerahkan waran tangkap apabila tidak menemui Khan di kediamannya di Lahore.

Khan dikehendaki hadir ke mahkamah pada 7 Mac. Jika beliau gagal berbuat demikian, polis dikehendaki menangkapnya dan membawanya ke mahkamah, menurut Menteri Dalam Negeri Rana Sanaullah.