- Iklan -
Luar Sana

Imran Khan dapat perlindungan mahkamah daripada ditahan

Bekas PM Pakistan diberikan imuniti untuk dua minggu dalam kes yang melibatkan pertuduhan di bawah undang-undang antikeganasan.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Pakistan Imran Khan. Gambar: AFP
Bekas perdana menteri Pakistan Imran Khan. Gambar: AFP

Bekas perdana menteri Pakistan Imran Khan diberikan jaminan perlindungan oleh mahkamah di bandar timur Lahore pada Isnin yang memberikan penangguhan penahanan selama dua minggu dalam kes melibatkan pertuduhan di bawah undang-undang antikeganasan negara itu.

Khan mempunyai beberapa kes sejak digulingkan tahun lepas. Kes-kes itu terdiri daripada mengumpul dana haram untuk parti politiknya sehinggalah ke arah menghasut keganasan terhadap pegawai negeri.

Khan hadir di hadapan Mahkamah Tinggi Lahore lewat Isnin bersama ratusan penyokong, kata saksi.

"Demi kepentingan keadilan, kami cenderung untuk memberinya jaminan perlindungan ad interim sehingga 3 Mac 2023, bagi hadir ke mahkamah," menurut perintah satu halaman yang dilihat oleh Reuters.

Kes itu berkaitan dengan dakwaan keganasan oleh penyokongnya semasa protes tahun lepas, yang mana Khan didakwa sebagai menghasut.

Sebelum Isnin, peguam Khan mendesak supaya imuniti daripada hadir ke mahkamah, dengan alasan kesihatan dan keselamatan. Mahkamah menolak permohonan tersebut.

Khan cedera dalam kejadian tembakan di salah satu perhimpunan tahun lalu. Berikutan itu penyokong Khan mengancam bantahan di seluruh negara jika beliau ditangkap.

Khan mengumumkan bahawa beliau akan melancarkan kempen minggu ini menyeru penyokongnya menawarkan diri mereka untuk ditangkap dalam usaha untuk "memenuhi sel penjara" sebagai protes terhadap penahanan pembantunya.

Kerajaan menafikan tindakan keras terhadap Khan dan partinya, malah mengatakan tidak campur tangan dalam pelbagai kes terhadapnya.