- Iklan -
Berita

Hantar senjata maut ke Ukraine, Korea Selatan belum buat keputusan

Perdana Menteri Han Duck Soo berkata negaranya memutuskan untuk beri bantuan kewangan untuk menyokong Kyiv dari segi kemudahan penjanaan elektrik.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki menonton siaran berita yang menunjukkan ujian pelancaran peluru berpandu balistik Korea Utara di pantai timurnya, di Seoul, Korea Selatan, 18 Disember. Gambar: Reuters
Seorang lelaki menonton siaran berita yang menunjukkan ujian pelancaran peluru berpandu balistik Korea Utara di pantai timurnya, di Seoul, Korea Selatan, 18 Disember. Gambar: Reuters

Perdana Menteri Han Duck Soo berkata Korea Selatan masih belum memutuskan sama ada akan menghantar bekalan senjata yang boleh membawa maut atau "lethal weapons" ke Ukraine.

Dalam temu bual dengan "Quest Means Business" CNN, Han berkata Korea Selatan telah memutuskan untuk menambah bantuan kewangan untuk Ukraine pada tahun ini untuk menyokong Kyiv dari segi kemudahan penjanaan elektrik.

Bagaimanapun, mengenai "lethal weapons" beliau berkata: "Bukan sekarang. Saya rasa. Kami belum membuat keputusan mengenai isu itu," katanya lapor Agensi Berita Yonhap. 

Mengenai ujian peluru berpandu oleh Korea Utara, Han berkata Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) akan meningkatkan latihan ketenteraan bersama.

Beliau berkata sejak kerajaan Presiden Yoon Suk Yeol berkuasa pada tahun lepas, Korea Selatan telah memberi banyak penekanan kepada pembinaan keupayaan pencegahan tetapi bukan bermakna negara ini menutup pintu dialog.

Beliau juga menjelaskan bahawa Korea Selatan tidak akan mempertimbangkan untuk memperoleh senjata nuklear sendiri dalam menghadapi peningkatan ancaman Korea Utara ataupun menggunakan semula keupayaan nuklear AS.

"Saya tidak fikir itu adalah tindakan yang betul. Kita harus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa termasuk sekutu rapat kita AS.

"...kami ingin memberitahu Korea Utara bahawa membangunkan dan memajukan keupayaan nuklear tidak akan menjamin keamanan serta kemakmuran di negara mereka dan juga di Semenanjung Korea dan di peringkat global," katanya.