- Iklan -
Luar Sana

Kanada siasat TikTok, bimbang ia kumpul data rakyat

Pesuruhjaya privasi juga akan siasat sama ada persetujuan telah diperoleh untuk pengumpulan, penggunaan dan pendedahan maklumat peribadi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi

Kanada pada Khamis melancarkan siasatan terhadap gergasi media sosial TikTok di tengah-tengah kebimbangan syarikat induk dari China mengumpul data mengenai warga Kanada.

Pengumuman itu dibuat selepas tuntutan mahkamah di Kanada dan Amerika Syarikat telah diselesaikan, lapor Agensi Anadolu.      

Menurut pesuruhjaya privasi dalam satu kenyataan, langkah itu juga diambil susulan banyak laporan media berkaitan pengumpulan, penggunaan dan pendedahan maklumat peribadi di TikTok. 

Pesuruhjaya persekutuan ingin memastikan bahawa TikTok "mematuhi" peraturan privasi Kanada.

Pesuruhjaya juga akan menyiasat sama ada "persetujuan telah diperoleh untuk pengumpulan, penggunaan dan pendedahan maklumat peribadi."

"Sebahagian pengguna TikTok adalah golongan muda. Memandangkan kepentingan melindungi privasi kanak-kanak, siasatan itu akan memberi tumpuan khusus pada amalan privasi TikTok kerana ia berkaitan dengan pengguna yang lebih muda, termasuk sama ada syarikat itu mendapat kebenaran yang sah daripada pengguna ini untuk sebarang pengumpulan, penggunaan dan pendedahan maklumat peribadi mereka,” menurut pesuruhjaya itu dalam satu kenyataan.

Sementara itu, jurucakap TikTok memberitahu Global News bahawa "privasi dan keselamatan komuniti TikTok sentiasa menjadi keutamaan."