- Iklan -
Luar Sana

India jalin hubungan baik dengan kuasa global kecuali China, kata menteri luar

India mengekalkan pendirian neutral dalam perang, menolak untuk menyalahkan Rusia atas pencerobohan ke atas jirannya itu, malah ia mencari penyelesaian diplomatik dan meningkatkan pembelian minyak Rusia sepanjang tahun lalu.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Luar India Subrahmanyam Jaishankar ketika berucap kepada media di Vienna, Austria pada 2 Januari. Gambar: Reuters
Menteri Luar India Subrahmanyam Jaishankar ketika berucap kepada media di Vienna, Austria pada 2 Januari. Gambar: Reuters

Menteri Luar India Subrahmanyam Jaishankar berkata New Delhi mempunyai hubungan baik dengan kuasa besar global kecuali China, yang menurutnya melanggar perjanjian pengurusan sempadan.

Hubungan India dengan Rusia adalah luar biasa utuh walaupun berlaku pergolakan dalam politik global berhubung perang Ukraine, tambah Jaishankar, dalam satu wawancara yang disiarkan oleh rakan kongsi Reuters ANI, semalam. 

Jaishankar berkata, ketegangan dengan negara jiran China menyebabkan India mempunyai penempatan tentera terbesar di sempadan yang dipertikaikan. 

"Hubungan India dengan kuasa besar adalah baik. China terkecuali kerana ia melanggar perjanjian... mempunyai postur di sempadan akibatnya kita mempunyai postur balas," kata Jaishankar, merujuk kepada mobilisasi tentera India dan pelaburan dalam infrastruktur sempadan. 

Ulasan menteri itu dibuat sebelum mesyuarat menteri luar negara Kumpulan 20 (G-20) pada 1-2 Mac di New Delhi yang dijangka dihadiri oleh pegawai kanan kerajaan China.

Gergasi Asia itu berkongsi sempadan sepanjang 3,500km (2,100 batu) di banjaran Himalaya yang dikenali sebagai Line of Actual Control (LAC) yang dipertikaikan sejak 1950-an. Kedua-dua negara berperang mengenainya pada 1962. 

Sekurang-kurangnya 24 askar terbunuh apabila kedua-dua tentera bertempur pada 2020 tetapi ketegangan reda selepas rundingan ketenteraan dan diplomatik. 

Pertembungan baru meletus antara kedua-dua pihak di timur Himalaya pada Disember tahun lalu tetapi tiada kematian. 

Jaishankar berkata, pandangan India bahawa perang di Ukraine memerlukan penyelesaian secara aman dikongsi oleh banyak negara. 

India mengekalkan pendirian neutral dalam perang, menolak untuk menyalahkan Rusia atas pencerobohan ke atas jirannya itu, mencari penyelesaian diplomatik dan meningkatkan pembelian minyak Rusia sepanjang tahun lalu.

Rusia menjadi pembekal peralatan ketenteraan terbesar India selama beberapa dekad dan ia merupakan pasaran keempat terbesar bagi produk farmaseutikal India. 

“Dunia masih sangat berbelah bahagi mengenai perang Ukraine... Modi mahu mencipta momentum untuk keamanan,” katanya merujuk kepada kesediaan Perdana Menteri Narendra Modi untuk membantu meredakan ketegangan antara Rusia dan Ukraine. 

Mengenai pesaing bersenjata nuklear Pakistan, Jaishankar berkata Islamabad perlu mencari jalan sendiri keluar daripada krisis kewangannya. 

"Hubungan kami hari ini bukanlah satu di mana kami boleh relevan secara langsung dengan proses itu," katanya mengenai dana kritikal yang amat diperlukan oleh ekonomi Asia Selatan itu yang sedang tenat.