- Iklan -
Luar Sana

Presiden Pakistan arah pilihan raya diadakan di Punjab dan Khyber Pakhtunkhwa

Ia berikutan suruhanjaya pilihan raya negara itu mengambil sikap berlengah dan menolak pelawaan untuk bincang tarikh pengundian.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Pakistan Arif Alvi. Gambar: Facebook
Presiden Pakistan Arif Alvi. Gambar: Facebook

Presiden Pakistan Arif Alvi mengumumkan pilihan raya baharu untuk wilayah Punjab dan Khyber Pakhtunkhwa diadakan pada 9 April selepas Suruhanjaya Pilihan Raya mengambil sikap berlengah dan menolak pelawaan untuk membincangkan tarikh pengundian.

Pilihan raya perlu dijalankan selepas kerajaan Punjab dan Khyber Pakhtunkhwa yang sebelum ini dikawal oleh parti Tehreek-e-Insaf (PTI) pimpinan bekas perdana menteri Imran Khan, membubarkan dewan undangan pada bulan lepas sebelum tamat tempoh penggal lima tahun. 

"Gabenor Punjab dan Khyber Pakhtunkhwa tidak melaksanakan tugas mengikut perlembagaan untuk menetapkan tarikh yang tidak lewat daripada 90 hari dari tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri mengikut Perlembagaan Pakistan. Suruhanjaya Pilihan Raya Pakistan (ECP) juga tidak berbuat demikian,” menurut pejabat presiden Pakistan dalam surat yang ditujukan kepada ketua ECP Sikander Sultan Raja pada Isnin.

Presiden dalam surat pada 8 Februari, memaklumkan kepada ECP supaya segera mengumumkan tarikh pilihan raya umum di kedua-dua wilayah berkenaan.

Pada Isnin, Alvi berkata: “beliau perlu menjalankan tugas mengikut perlembagaan dan undang-undang dengan mengumumkan tarikh baharu pilihan raya agar tidak menyalahi undang-undang dan pelembagaan yang menetapkan pilihan raya perlu dijalankan dalam tempoh 90 hari selepas pembubaran.

ECP turut dikritik kerana tidak mengumumkan tarikh baharu pilihan raya.

PTI menggesa pilihan raya umum dijalankan sejak kerajaan persekutuan digulingkan dalam undi tidak percaya pada April tahun lepas.