- Iklan -
Luar Sana

Korban gempa melonjak selepas gempa bumi terbaru melanda sempadan Turkiye-Syria

Angka kematian terkini meningkat kepada 41,156 di Turkiye, kata AFAD pada Isnin, dan dijangka melonjak lebih tinggi berikutan gempa terbaru pada Isnin.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Pasukan penyelamat sedang berusaha mencari mangsa selepas gempa bumi terbaru di wilayah Hatay di Turkiye, 21 Februari. Gambar: Reuters
Pasukan penyelamat sedang berusaha mencari mangsa selepas gempa bumi terbaru di wilayah Hatay di Turkiye, 21 Februari. Gambar: Reuters

Enam orang terbunuh dalam gempa bumi yang melanda wilayah sempadan Turkiye dan Syria, menurut laporan CNN Turk pada Selasa, dua minggu selepas gempa lebih besar mengorbankan lebih 47,000 nyawa selain merosakkan atau memusnahkan ratusan ribu rumah.

Gempa pada Isnin, kali ini dengan magnitud 6.4, melanda dekat bandar Antakya di selatan Turkiye dan turut dirasai di Syria, Mesir dan Lubnan. Ia melanda pada kedalaman 10 km, kata Pusat Seismologi Mediterranean Eropah (EMSC).

CNN Turk menunjukkan pasukan penyelamat menaiki tangga untuk memasuki satu bangunan di mana beberapa orang telah terperangkap selepas gegaran terbaru itu. Ia melaporkan gempa itu berlaku ketika orang ramai berada di dalam bangunan yang sudah rosak untuk mendapatkan harta benda sebelum ia dirobohkan.

Menteri Kesihatan Turkiye Fahrettin Koca berkata, 294 orang cedera dalam gempa bumi petang Isnin, dengan 18 cedera parah dan dibawa ke hospital di Adana dan Dortyol.

Pesakit telah dipindahkan dari beberapa kemudahan kesihatan yang masih beroperasi rentetan daripada gegaran besar dua minggu lalu, berikutan keretakan yang dikesan di bangunan, kata Koca di Twitter.

Di Samandag, di mana Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan negara (AFAD) melaporkan seorang maut pada Isnin dengan penduduk berkata lebih banyak bangunan runtuh tetapi sebahagian besar penduduk bandar itu melarikan diri selepas gempa bumi. Timbunan serpihan dan perabot yang dibuang memenuhi jalan yang gelap dan terbiar.

Muna Al Omar berkata dia berada di dalam khemah di sebuah taman di tengah Antakya apabila tanah mula bergoyang semula.

"Saya fikir bumi akan terbelah di bawah kaki saya," katanya pada Isnin sambil menangis dan memeluk anaknya yang berusia 7 tahun.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken berkata dalam lawatan ke Turkiye pada Isnin bahawa Washington akan menghulurkan bantuan kerana operasi menyelamat susulan gempa bumi 6 Februari, dan tumpuan beralih kepada perlindungan dan kerja pembinaan semula.

Angka kematian akibat gempa bumi dua minggu lalu meningkat kepada 41,156 di Turkiye, kata AFAD pada Isnin, dan ia dijangka melonjak lebih tinggi, dengan 385,000 pangsapuri dikesan musnah atau rosak teruk selain ramai orang masih hilang.

Presiden Tayyip Erdogan berkata kerja pembinaan di hampir 200,000 pangsapuri di 11 wilayah Turkiye yang dilanda gempa bumi akan dimulakan bulan depan.

Jumlah bantuan kemanusiaan AS untuk menyokong tindak balas gempa bumi di Turkiye dan Syria telah mencecah AS$185 juta (kira-kira RM820 juta), kata Jabatan Negara AS.

Sekurang-kurangnya 356,000 wanita hamil antara mangsa yang terselamat daripada gempa bumi itu, yang memerlukan akses segera kepada perkhidmatan kesihatan, kata agensi kesihatan seksual dan reproduktif PBB.

Mereka termasuk 226,000 wanita di Turkiye dan 130,000 di Syria, kira-kira 38,800 daripadanya akan bersalin pada bulan depan. Ramai daripada mereka berteduh di kem atau terdedah kepada suhu sejuk dan bergelut untuk mendapatkan makanan atau air bersih.