- Iklan -
Luar Sana

Hubungan diplomatik semakin keruh ketika AS siasat serpihan belon China

Belon China terbang di ruang udara AS dan Kanada selama seminggu sebelum ditembak pada 4 Februari lepas atas arahan Joe Biden.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar tidak bertarikh di lokasi rahsia menunjukkan agen khas FBI bertugas menyiasat belon China yang ditembak jatuh oleh jet tentera Amerika Syarikat di pantai Carolina Selatan, dalam imej dikeluarkan oleh FBI pada 9 Februari. Gambar: Reuters
Gambar tidak bertarikh di lokasi rahsia menunjukkan agen khas FBI bertugas menyiasat belon China yang ditembak jatuh oleh jet tentera Amerika Syarikat di pantai Carolina Selatan, dalam imej dikeluarkan oleh FBI pada 9 Februari. Gambar: Reuters

Hubungan diplomatik antara China dan Amerika Syarikat (AS) semakin meruncing pada Selasa dengan Beijing menuduh Washington menerbangkan belon altitud tinggi ke ruang udaranya, ketika tentera AS memeriksa serpihan belon "pengintip" China yang ditembak jatuh awal bulan ini.

Belon China, yang dinafikan Beijing sebagai pengintip, terbang di ruang udara AS dan Kanada selama seminggu akhirnya ditembak pada 4 Februari lepas atas arahan presiden Joe Biden. Tentera AS sejak itu telah menembak jatuh tiga lagi objek di ruang udaranya dan Kanada.

Rumah Putih berkata pada Selasa ia masih mencari serpihan daripada objek tanpa pemandu terbaharu itu, dan tidak melihat sebarang tanda ia adalah sebahagian daripada program pengintip China. Namun mereka mendedahkan sikap waspada Washington yang semakin meningkat apabila kebuntuan mengenai belon itu menangguhkan usaha untuk menetapkan semula hubungan dua hala.

China mendakwa belon yang ditembak jatuh pada 4 Februari lepad adalah pesawat pemantau cuaca awam. Beijing turut menuduh Washington menghantar belon ke ruang udara China.

Belon AS "berterbangan ke seluruh dunia dan secara haram memasuki ruang udara China dan negara lain sekurang-kurangnya sepuluh kali" sejak Mei 2022, kata jurucakap kementerian luar China Wang Wenbin.

Bagaimanapun, Wang tidak memberikan butiran mengenai negara lain yang terlibat, enggan menyatakan bahagian mana ruang udara China yang didakwanya diceroboh AS mahupun memberikan gambar sebagai bukti.

Rumah Putih telah mempertikaikan dakwaan China. 

Melalui Twitter, jurucakap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih Adrienne Watson berkata pada Isnin: "Sebarang dakwaan bahawa kerajaan AS mengendalikan belon pengawasan di China adalah palsu."

Washington mengenakan sekatan ke atas enam entiti China yang dikatakan berkait dengan belon itu, tindakan yang mendapat kritikan daripada Beijing pada Selasa. Tetapi terdapat beberapa tanda kedua-dua negara masih berusaha untuk menyuntik kestabilan dalam hubungan yang bergelora.

Biden, yang berkali-kali berikrar untuk melindungi ruang udara AS dan mengkritik China berikut kejadian belon itu, turut berkata beliau tidak percaya hubungan antara kedua-dua negara itu dilemahkan oleh insiden tersebut.

Setiausaha Negara AS Antony Blinken, yang menangguhkan perjalanan ke Beijing, sedang mempertimbangkan untuk bertemu dengan diplomat tertinggi China Wang Yi di Munich minggu ini, menurut sumber.