- Iklan -
Luar Sana

Saham Credit Suisse merosot teruk sejak krisis kewangan 2008

Tahun lepas antara yang terburuk dalam sejarah 167 tahun gergasi perbankan Switzerland itu, kata penganalisis.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai melintas di hadapan ibu pejabat bank Switzerland Credit Suisse di Zurich pada 9 Ogos 2021. Gambar: AFP
Orang ramai melintas di hadapan ibu pejabat bank Switzerland Credit Suisse di Zurich pada 9 Ogos 2021. Gambar: AFP

Saham Credit Suisse menjunam hampir 15% pada Khamis apabila gergasi perbankan Switzerland yang dilanda skandal itu mencatatkan kerugian tahunan terbesarnya sejak krisis kewangan 2008, beri amaran ia jangka akan kekal teruk pada 2023.

Bank kedua terbesar Switzerland, yang melancarkan rancangan penstrukturan semula pada Oktober itu, melaporkan kerugian bersih 7.3 bilion franc Swiss (AS$7.9 bilion, RM34.14 bilion) untuk 2022.

Ia merupakan keputusan tahunan terburuk bagi pemberi pinjaman yang berpangkalan di Zurich sejak ia menurunkan lebih lapan bilion franc Swiss semasa krisis kewangan global 15 tahun lepas.

Keputusan itu menyebabkan saham menjunam, ditutup 14.7% pada 2.77 franc Swiss sesaham, manakala indeks SMI utama bursa saham Switzerland turun 0.5%.

Sejak Mac 2021, saham bank itu telah hilang lebih 75% daripada nilainya.

Penstrukturan semula bank itu tertumpu kepada pengurangan secara drastik skala unit perbankan pelaburannya, yang merupakan nadi kepada rentetan skandal, termasuk kejatuhan dana Archegos Amerika Syarikat.

Memetik kesan daripada caj penstrukturan semula dan keluarnya daripada perniagaan bukan teras, Credit Suisse berkata dalam satu kenyataan, ia "juga menjangkakan kumpulan itu melaporkan kerugian besar sebelum cukai pada 2023".

Kos penstrukturan semula dianggarkan sekitar 1.6 bilion franc Swiss tahun ini dan sekitar satu bilion franc pada 2024.

Ketua eksekutif Ulrich Korner berkata bank itu mempunyai "rancangan jelas untuk mewujudkan Credit Suisse baharu".

Pada suku terakhir, kerugian bersihnya yang boleh diagihkan kepada pemegang saham berjumlah hampir 1.4 bilion franc Swiss.

"Suku keempat yang lemah menyimpulkan 2022 yang mengerikan, jelas salah satu tahun terburuk dalam sejarah 167 tahun Credit Suisse," kata Andreas Venditti, seorang penganalisis di pengurus pelaburan Switzerland Vontobel, sambil menyifatkan bank itu melaporkan kerugian dalam tujuh daripada sembilan suku yang terakhir.

"2024 mungkin membawa pemulihan, walaupun dengan kemungkinan keuntungan kecil. Transformasi kepada 'Credit Suisse baharu' akan mengambil masa."