- Iklan -
Luar Sana

Peralatan belon China 'jelas' untuk mengintip, kata pegawai AS

Ia dilengkapi panel solar untuk hasilkan tenaga bagi peralatan perisikan, kata pegawai Jabatan Negara AS.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar tidak bertarikh di lokasi rahsia menunjukkan agen khas FBI bertugas menyiasat belon China yang ditembak jatuh oleh jet tentera Amerika Syarikat di pantai Carolina Selatan, dalam imej dikeluarkan oleh FBI pada 9 Februari. Gambar: Reuters
Gambar tidak bertarikh di lokasi rahsia menunjukkan agen khas FBI bertugas menyiasat belon China yang ditembak jatuh oleh jet tentera Amerika Syarikat di pantai Carolina Selatan, dalam imej dikeluarkan oleh FBI pada 9 Februari. Gambar: Reuters

Belon China yang terbang di ruang udara Amerika Syarikat (AS) minggu lepas jelas sekali dilengkapi dengan peralatan perisikan, bukannya data cuaca, kata pegawai AS pada Khamis.

Gambar terperinci yang diambil oleh pesawat U2 beraltitud tinggi menunjukkan peralatan belon itu "jelas untuk pengawasan perisikan dan tidak konsisten dengan peralatan belon cuaca," kata pegawai kanan Jabatan Negara AS.

"Ia ada berbilang antena untuk memasukkan tatasusunan yang berkemungkinan mampu mengumpul dan mengesan lokasi komunikasi.

"Ia dilengkapi dengan panel solar yang cukup besar untuk menghasilkan tenaga untuk mengendalikan pelbagai penderia pengumpulan risikan aktif," kata pegawai itu, dengan syarat namanya tidak disiarkan.

Pada Sabtu lepas, sebuah jet pejuang AS menembak belon di ruang udara Atlantik selepas ia melintasi sebahagian besar negara itu, selepas ianya terbang melepasi kawasan simpanan peluru berpandu nuklear dalam silo bawah tanah selain pangkalan dengan pengebom strategik.

Insiden itu menyebabkan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken membatalkan lawatan ke Beijing yang bertujuan untuk memperbaiki hubungan antara dua kuasa besar itu.

FBI kaji bahan belon yang ditemui

Seorang pegawai Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) berkata, setakat ini cuma "sebahagian kecil" daripada muatan intipan dan alat elektronik belon itu telah dipulihkan.

"Bukti yang ditemui dan dibawa ke FBI sangat terhad," kata pegawai itu, menambah bahawa ia sedang diperiksa di makmal FBI di Quantico, Virginia.

Setakat ini apa yang ditemui adalah yang terapung di permukaan air, kata pegawai yang tidak mahu namanya disiarkan.

Bahagian muatan yang lebih besar, termasuk panel solar yang luas, tenggelam dalam kira-kira 14 meter selepas belon itu ditembak jatuh.

FBI tidak menyatakan sama ada bahagian muatan utama telah ditemui, tetapi memberi amaran bahawa cuaca buruk boleh menghalang usaha mencari dan memulihkan.

Pegawai jabatan negara menyatakan AS yakin belon itu berada di bawah kawalan Tentera Pembebasan Rakyat China, dan merupakan sebahagian daripada kumpulan belon yang dihantar China ke lebih 40 negara di lima benua untuk mengumpul maklumat perisikan.

"Kami yakin pengeluar belon ada hubungan langsung dengan tentera China," kata pegawai itu.

Pegawai itu berkata, AS sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan terhadap entiti China yang dikaitkan dengan operasi belon itu, dan mungkin mengenakan sekatan terhadap mereka.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.