- Iklan -
Berita

Jumlah korban gempa bumi Turki-Syria melepasi 21,000, ramai jadi gelandangan

Angka kematian itu melepasi angka lebih 17,000 orang yang terkorban akibat gempa bumi pada kekuatan yang sama melanda kawasan lebih padat penduduk di barat laut Turki pada 1999.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang kanak-kanak diselamatkan daripada runtuhan bangunan susulan gempa bumi melanda Azmarin, Syria, 7 Februari. Gambar: Reuters
Seorang kanak-kanak diselamatkan daripada runtuhan bangunan susulan gempa bumi melanda Azmarin, Syria, 7 Februari. Gambar: Reuters

Kesejukan, kelaparan dan putus asa mencengkam ratusan ribu penduduk yang hilang tempat tinggal akibat gempa bumi di Turkiye dan Syria, manakala harapan semakin pudar untuk lebih ramai mangsa ditemui hidup di tengah-tengah runtuhan bangunan. 

Setakat ini angka kematian akibat gempa bumi, yang melanda awal pagi Isnin itu melepasi 21,000 di kedua-dua negara. 

Itu melepasi angka lebih 17,000 orang yang terkorban akibat gempa bumi pada kekuatan yang sama melanda kawasan lebih padat penduduk di barat laut Turki pada 1999. 

Seorang pegawai Turkiye berkata, bencana itu menimbulkan "kesukaran yang sangat serius" untuk mengadakan pilihan raya yang dijadualkan pada 14 Mei di mana Presiden Recep Tayyip Erdogan dijangka menghadapi cabaran paling sukar dalam tempoh dua dekad. 

Dengan kemarahan yang memuncak susulan penyampaian bantuan yang perlahan dan kelewatan dalam usaha menyelamat dijalankan, ia pasti akan memainkan peranan sekiranya ia masih diteruskan.

Sementara itu, konvoi pertama Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang membawa bantuan kepada rakyat Syria yang terjejas melintasi sempadan dari Turkiye, tiga hari sejak gempa berlaku. 

Di wilayah Idlib Syria, Munira Mohammad, ibu kepada empat anak yang melarikan diri dari Aleppo selepas gempa bumi, berkata: "Semuanya kanak-kanak di sini, dan kami memerlukan alat pemanas dan bekalan, malam tadi kami tidak dapat tidur kerana cuaca sangat sejuk. Ia sangat teruk." 

Beratus-ratus ribu penduduk di kedua-dua negara kehilangan tempat tinggal pada pertengahan musim sejuk. Ramai mendirikan khemah sebagai tempat perlindungan sementara di tempat letak kereta pasar raya, masjid, tepi jalan atau di tengah-tengah runtuhan, terdesak untuk mendapatkan makanan, air dan haba. 

Di sebuah stesen minyak berhampiran bandar Kemalpasa di Turkiye, orang ramai memilih pakaian yang disumbangkan. Di bandar pelabuhan Iskenderun, wartawan Reuters melihat orang ramai berkumpul di sekeliling unggun api di tepi jalan dan di garaj dan gudang yang rosak. 

Pegawai dan pengamal perubatan berkata 17,674 orang maut di Turki dan 3,377 di Syria akibat gegaran 7.8 magnitud Isnin, menjadikan jumlah yang disahkan terkorban kepada 21,051. 

Pakar bimbang jumlah itu akan terus meningkat secara mendadak