- Iklan -
Luar Sana

Indonesia rangka undang-undang bolehkan media terima bayaran kandungan digital

Undang-undang baharu itu dijangka menyamakan kedudukan antara media dan firma teknologi dari segi menyediakan kandungan dan menjana keuntungan.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Facebook adalah antara platform digital terbesar di Indonesia. Gambar: Reuters
Facebook adalah antara platform digital terbesar di Indonesia. Gambar: Reuters

Indonesia sedang merangka peraturan yang membenarkan saluran media menerima bayaran daripada platform digital atau pemilik laman sesawang yang membawa kandungan mereka, demikian menurut Dewan Pers, hari ini.

Undang-undang baharu itu dijangka menyamakan kedudukan antara media dan firma teknologi dari segi menyediakan kandungan dan menjana keuntungan, kata Arif Zulkifli, ahli Dewan Pers Indonesia.

Undang-undang itu, yang dicadangkan dua tahun lalu, diilhamkan undang-undang sama di Jerman dan Australia, dan akan dikuatkuasakan sebagai peraturan presiden dalam masa sebulan. 

Platform digital di Indonesia termasuk Facebook, Alphabet Inc's Google dan beberapa laman sesawang tempatan. 

Arif berkata platform ini mendapat manfaat daripada membawa kandungan yang dihasilkan oleh syarikat media manakala "kebanyakan media menerima keuntungan kecil". 

"(Tiada) keseimbangan dalam hal ini," katanya.

Mengikut undang-undang baharu itu, Dewan Pers akan menentukan struktur harga dan skim pembayaran, di samping bertindak sebagai orang tengah sekiranya berlaku pertikaian. 

Di Australia, kod rundingan media berita berkuat kuasa pada Mac 2021. Sejak itu, firma teknologi menandatangani lebih 30 tawaran dengan saluran media yang memberi pampasan kepada mereka untuk kandungan yang menjana klik dan pengiklanan, menurut laporan jabatan perbendaharaan negara itu. 

Menurut laporan itu, perjanjian ini membolehkan perniagaan berita untuk menggaji wartawan tambahan dan membuat pelaburan berharga lain dalam operasi mereka. 

Bercakap pada majlis memperingati media Indonesia, Presiden Joko Widodo memetik keperluan mendesak untuk undang-undang baharu itu memandangkan 60% daripada pasaran iklan di negara Asia Tenggara itu didominasi oleh kebanyakan platform digital asing. 

"Sekitar 60% daripada perbelanjaan iklan diambil oleh media digital, terutamanya platform asing. Ini menyedihkan," katanya.