- Iklan -
Luar Sana

AS tidak mahu ada konflik dengan China, kata Biden

Presiden AS nafi belon "pengintip" China yang ditembak jatuh jejaskan hubungan dengan Beijing.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, 9 Februari. Gambar: Reuters
Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, 9 Februari. Gambar: Reuters

Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden berkata pada Rabu bahawa Washington "tidak mencari konflik" dengan Beijing walaupun timbul ketegangan susulan penembakan belon "pengintip" China.

"Kita akan bersaing sepenuhnya dengan China, tetapi... kita bukan mahukan konflik," katanya dalam temu bual dengan rangkaian PBS.

Kenyataan Biden itu dilihat cuba meredakan ketegangan selepas insiden belon besar China melintasi AS sebelum ditembak jatuh oleh jet tentera udara AS pada Sabtu lepas.

Ditanya sama ada insiden itu telah merosakkan hubungan dengan Beijing, Biden berkata "tidak."

China menegaskan belon itu hanya menjalankan penyelidikan cuaca namun Pentagon menyifatkannya sebagai operasi pengintipan berteknologi tinggi.

Belon itu dilaporkan terapung pada ketinggian yang jauh lebih tinggi berbanding kebanyakan kapal terbang selain melintasi sekurang-kurangnya sebuah pangkalan tentera AS.