Turkiye isytihar darurat 3 bulan di 10 wilayah dilanda gempa bumi
Ia diumum agar operasi SAR dan kajian dapat dijalankan dengan cepat, kata Erdogan.
Terkini
Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan pada Selasa mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah yang dilanda gempa bumi besar, lapor Xinhua.
Keputusan itu diambil bagi memastikan operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta kajian selepas bencana dapat dijalankan dengan cepat, katanya pada sidang media.
Angka kematian akibat gempa bumi yang melanda selatan Türkiye pada Isnin telah meningkat kepada 3,549, kata Erdogan.
Sebanyak 53,317 anggota mencari dan menyelamat serta kakitangan sokongan kini menjalankan usaha SAR di zon berkenaan, menurut presiden.
Mangsa korban dilaporkan dari wilayah selatan Kahramanmaras, Adana, Adıyaman, Osmaniye, Hatay, Kilis dan Malatya dan tenggara Sanliurfa, Diyarbakir, dan Gaziantep, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD).
Erdogan pada Isnin turut mengisytiharkan tempoh berkabung selama tujuh hari susulan kejadian gempa bumi dahsyat itu.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.