- Iklan -
Luar Sana

Singapura tahan pelajar 18 tahun cuba rancang serangan bom

Pihak berkuasa berkata rancangan remaja tersebut termasuk merekrut pengebom bunuh diri untuk menyerang kem tentera serta mengebom tanah perkuburan.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Pelancong bergambar dengan mercu tanda utama Singapura, The Melion, 27 Januari. Gambar: Reuters
Pelancong bergambar dengan mercu tanda utama Singapura, The Melion, 27 Januari. Gambar: Reuters

Pihak berkuasa Singapura menahan seorang remaja berusia 18 tahun, yang didakwa menyokong kumpulan Isis dan merancang untuk melakukan serangan, kata pegawai keselamatan, hari ini.

Muhammad Irfan Danyal Mohamad Nor, seorang pelajar Singapura, ditahan pada Disember mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri yang membenarkan penahanan tanpa bicara sehingga dua tahun. 

Pelajar terbabit bertindak radikal selepas menonton propaganda kumpulan Isis dalam talian, kata pihak berkuasa dalam satu kenyataan, sambil menambah remaja berkenaan bertindak menggunakan media sosial untuk mengumpulkan pejuang bagi melakukan serangan di Singapura. 

Pihak berkuasa berkata rancangan remaja tersebut termasuk merekrut pengebom bunuh diri untuk menyerang kem tentera serta mengebom tanah perkuburan. 

“Ketika ditangkap, dia nekad melakukan keganasan,” kata Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam.

Kes sebegini jarang berlaku di negara berbilang budaya dan berbilang kaum ini. 

Pada 2020, pihak berkuasa menahan seorang remaja berusia 16 tahun yang merancang untuk menyerang dua masjid di Singapura selepas terpengaruh dengan pembunuhan beramai-ramai umat Islam di New Zealand. 

Pada tahun berikutnya, seorang warga Singapura berusia 20 tahun ditangkap mengikut undang-undang yang sama, dengan pihak berkuasa mendakwanya merancang untuk membunuh orang Yahudi di sebuah rumah ibadat.