- Iklan -
Editorial

11 November, hari pemimpin dunia Islam mengkhianati rakyat Palestin

Israel boleh tidur nyenyak selepas mendengar ucapan pemimpin Islam yang hadir di Riyadh baru-baru ini.

Abdar Rahman Koya
3 minit bacaan
Kongsi

Pada 11 November lalu, beberapa bandar raya di Eropah dan Amerika Syarikat menyaksikan lautan manusia yang berarak mendesak kerajaan mereka berhenti daripada terus terlibat dalam penyembelihan rakyat Palestin oleh Israel.

Pada hari yang sama, Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengadakan mesyuarat tergempar di Arab Saudi, berbekalkan harapan yang sekurang-kurangnya akan wujud persetujuan bersama untuk mengambil beberapa langkah praktikal untuk menamatkan kempen pembunuhan beramai-ramai di Gaza, yang setakat ini telah membunuh lebih 11,000 orang awam, termasuk lebih 4,000 kanak-kanak.

Dengan pengecualian Presiden Iran, Ebrahim Raisi, kesemua lebih 50 ketua negara yang berucap mengelak daripada menyentuh hakikat bahawa negara-negara Arab/Islam yang kaya dengan minyak di rantau itu berada di kedudukan yang tepat untuk menekan Israel dan penyokong Baratnya melalui tindakan diplomatik dan ekonomi.

Adalah suatu tragedi di zaman ini apabila tidak satu pun pemimpin Islam yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel sanggup memutuskan hubungan ini, biarpun di negara sendiri mereka terpekik terlolong dalam pelbagai perhimpunan besar tajaan kerajaan untuk membela rakyat Palestin.

Malah Presiden Recep Tayyip Erdogan, sosok yang ingin menjenamakan semula Turki sebagai kuasa besar Islam bersandarkan kegemilangan lampau empayar Uthmaniyyah, sekadar memanggil pulang dutanya dan bukan memutuskan hubungan dengan Israel.

Ia berbeza dengan negara Amerika Selatan, Bolivia, yang memutuskan hubungan dengan Israel, di samping beberapa kerajaan bukan Islam lain yang mengambil pendirian tegas mengutuk kekejaman Israel selama ini.

Hakikatnya, Israel boleh tidur lena selepas mendengar ucapan-ucapan pemimpin Islam dari Indonesia ke Maghribi yang hadir pada mesyuarat OIC itu. 

Ini termasuklah ucapan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang gagal mengambil pendirian yang tegas di sebalik propaganda di media tempatan yang cuba menggambarkan beliau sebagai seorang wira Palestin.

Seperti juga kebanyakan pemimpin Islam lain, Anwar yang beberapa kali bangga dengan pertemuannya dengan beberapa pemimpin utama termasuk Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman, sekadar mengulangi kecaman terhadap kekejaman Israel, sambil menggesa agar bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk ke Gaza. Tidak lebih daripada itu.

Soal membekalkan senjata kepada pejuang Palestin tidak pula disebut, tidak seperti respons Malaysia dan banyak pihak lain sewaktu penghapusan etnik Bosnia pada 1990-an dulu.

Sedangkan pemimpin Islam yang hebat dan "berani" pun tidak berdaya menasihatkan rakan pemerintah mereka untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel dan mengenakan sekatan minyak, apalah sangat yang boleh diharapkan daripada Anwar, yang tidak memiliki pengaruh di dunia Islam seperti mana bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Tetapi alang-alang sudah diugut kuasa Barat kerana menentang Israel (seperti mana didakwanya), maka sepatutnya Anwar mengambil pendirian yang lebih lantang di sidang itu.

Di kala puluhan ribu orang awam Palestin terus dihujani bom, apakah langkah praktikal yang diusulkan oleh mesyuarat OIC yang baru selesai itu?

Satu-satunya cadangan praktikal datangnya dari Presiden Raisi, iaitu sebuah rancangan yang tidak melibatkan kekerasan.

Dalam ucapannya, pemimpin Iran itu menggesa negara-negara Islam segera menghentikan bekalan minyak dan gas kepada entiti Zionis, memutuskan hubungan diplomatik, dan melarang penggunaan ruang udara mereka oleh pesawat Israel.

Tetapi akhirnya, OIC mengeluarkan kenyataan yang sia-sia.

Beberapa kerajaan Arab, termasuk tuan rumah Arab Saudi, menolak usul memutuskan semua hubungan dengan Israel, serta usul menghalang kegunaan pangkalan AS di negara masing-masing untuk memindahkan bantuan ketenteraan AS ke Israel.

Kenyataan OIC juga tidak menyentuh mengenai sebarang tindakan ekonomi terhadap Israel seperti menghentikan jualan minyak, dan larangan penggunaan ruang udara negara Arab untuk penerbangan keluar masuk Israel.

Menurut rangkaian Israel Channel 12, Arab Saudi bersama UAE, Bahrain, Sudan, Maghribi, Mauritania, Djibouti, Jordan dan Mesir – yang kesemuanya mempunyai hubungan dengan Israel – menolak semua ini daripada dimasukkan dalam kenyataan akhir pendirian OIC.

Setiap pagi, berjuta-juta rakyat Palestin bangun dikelilingi runtuhan rumah mereka. Pemimpin OIC pula pulang ke rumah masing-masing selepas mengeluarkan kenyataan tidak bermakna.

Mudah sahaja mereka mengeluarkan kenyataan menuntut gencatan senjata dan laluan kemanusiaan untuk menyalurkan bantuan, lebih-lebih lagi apabila Israel dan pembelanya Amerika Syarikat dengan terang-terang menolak tuntutan itu.

Memang benar, kekuatan ketenteraan dan senjata yang ada pada 57 negara Islam cukup untuk melenyapkan Israel dari muka bumi.

Tetapi umat Islam berfikiran realistik dan tidak mengharapkan ia akan berlaku, kerana sedar kebanyakan kerajaan mereka tidak cekap dan masih dalam cengkaman Uncle Sam.

Sementara itu, tarikh 11 November akan diingati sebagai hari pemimpin Islam sedunia mengkhianati rakyat Palestin.