- Iklan -
Berita

Penunjuk perasaan berarak ke Lima, Peru tuntut presiden letak jawatan

Seramai 11,800 pegawai polis diletakkan dalam keadaan bersiap sedia di Lima sebelum masalah lebih buruk tercetus oleh penunjuk perasaan.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Ketegangan Peru memuncak apabila penunjuk perasaan mula berarak menuju ke ibu negara, Lima bagi menuntut Presiden Dina Boluarte meletakkan jawatan, 19 Januari. Gambar: Reuters
Ketegangan Peru memuncak apabila penunjuk perasaan mula berarak menuju ke ibu negara, Lima bagi menuntut Presiden Dina Boluarte meletakkan jawatan, 19 Januari. Gambar: Reuters

Beribu-ribu penunjuk perasaan mula berarak menuju ibu negara Peru hari ini bagi menuntut Presiden Dina Boluarte meletakkan jawatan dan memberi laluan kepada pilihan raya. Rusuhan yang dilancarkan sejak beberapa minggu ini mengakibatkan 44 orang terkorban.

Menurut polis, mereka berada dalam "keadaan berwaspada" dan mengerahkan 11,800 pegawai bersiap sedia di Lima sebelum masalah lebih buruk tercetus oleh penunjuk perasaan yang mendesak presiden negara itu berundur.

Beberapa pergelutan kecil berlaku sebentar tadi, dengan penunjuk perasaan di pusat bandar membaling batu ke arah polis yang bertindak melepaskan gas pemedih mata, menurut wartawan AFP di tempat kejadian. 

Menurut stesen televisyen tempatan, kira-kira 1,000 penunjuk perasaan cuba menyerbu masuk lapangan terbang di bandar raya kedua Peru, Arequipa awal hari ini. 

Bagaimanapun, mereka dihalang oleh polis yang turut bertindak melepaskan gas pemedih mata.

Menurut kumpulan hak asasi Peru, dua penunjuk perasaan maut selepas bertempur dengan polis di selatan negara itu semalam, menjadikan jumlah kematian akibat protes sejak sebulan lalu kepada 44.

Negara Amerika Selatan itu digegarkan insiden demonstrasi, yang kebanyakannya berlaku di kawasan selatan dan timur, sejak penyingkiran dan penahanan Boluarte Pedro Castillo pada Disember lalu.

Penunjuk perasaan, kebanyakannya dari wilayah Andes, bergerak dari beberapa pusat sekitar Lima di sepanjang arteri utama dengan matlamat untuk sampai ke istana presiden yang dikawal ketat. 

"Kami di sini, berjuang untuk keadilan kami. Kami mahu mereka bubarkan Kongres," kata penduduk kampung Ayda Aroni, yang berasal dari Ayacucho, 330km ke tenggara Lima, kepada AFP. 

"Kami terpinggir, mereka kata kami perosak, mereka panggil kami pengganas, kami menuntut hak kami."

Beberapa kedai di laluan perarakan protes ditutup.