- Iklan -
Luar Sana

Jururawat UK lancar mogok tuntut tambah baik skim gaji

Kesatuan jururawat utama mendakwa kerajaan gagal berunding secara serius untuk menambah baik perjanjian gaji mereka untuk tahun semasa.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Jururawat NHS membawa sepanduk ketika mogok bagi menuntut  kerajaan menambah baik gaji mereka di London , Britain, 20 Disember. Gambar: Reuters
Jururawat NHS membawa sepanduk ketika mogok bagi menuntut kerajaan menambah baik gaji mereka di London , Britain, 20 Disember. Gambar: Reuters

Sekumpulan jururawat di England melancarkan mogok selama dua hari bermula hari ini berhubung bayaran gaji yang diterima mereka, selepas pegawai memberi amaran tentang gangguan terhadap perkhidmatan kesihatan kerajaan UK.

Ia berlaku selepas jururawat mengadakan mogok yang tidak pernah berlaku sebelum ini bulan lalu, menyertai gelombang tindakan industri oleh pekerja sektor awam yang dilanda krisis kos sara hidup.

Kesatuan jururawat utama mendakwa kerajaan gagal berunding secara serius untuk menambah baik skim gaji mereka untuk tahun semasa. 

Tindakan terbaharu itu menambah tekanan kepada Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) yang dibiayai kerajaan ketika permintaan tertinggi dan senarai menunggu yang panjang bagi mendapatkan rawatan. 

"Tindakan industri yang tidak dapat dielakkan akan memberi kesan kepada pesakit," kata Menteri Kesihatan Steve Barclay, semalam.

Barclay berkata, mogok selama dua hari yang dibuat kumpulan jururawat di England dan Wales pada Disember tahun lalu menyebabkan pembatalan "sekitar 30,000 prosedur elektif dan temu janji pesakit luar".

"Pesakit difahamkan akan bimbang dengan prospek tindakan mogok selanjutnya oleh jururawat," katanya. 

Namun nasib kakitangan perubatan menimbulkan simpati orang ramai kerana harga makanan yang melambung tinggi dan bil tenaga membelenggu pekerja bergaji lebih rendah secara menyeluruh.

Tinjauan YouGov pada hari Selasa mendapati 63% menyokong mogok jururawat. 

Bagaimanapun jurucakap rasmi Perdana Menteri Rishi Sunak berkata ia bukan "tindakan yang betul”.

"Kami menyeru kesatuan sekerja untuk menamatkan piket dan berbincang.”