- Iklan -
Luar Sana

Itali tangkap ketua mafia paling dikehendaki di hospital Sicily

Ketika ditangkap, Messina Denaro yang melarikan diri sejak 1993 sedang menjalani rawatan akibat kanser.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua mafia paling dikehendaki di Itali, Matteo Messina Denaro ditangkap ketika sedang menjalani rawatan akibat kanser di sebuah hospital swasta di Sicily semalam. Gambar: Reuters
Ketua mafia paling dikehendaki di Itali, Matteo Messina Denaro ditangkap ketika sedang menjalani rawatan akibat kanser di sebuah hospital swasta di Sicily semalam. Gambar: Reuters

Ketua mafia paling dikehendaki di Itali, Matteo Messina Denaro, ditangkap polis bersenjata di sebuah hospital swasta di Sicily semalam.

Ketika ditangkap, Messina Denaro yang melarikan diri sejak 1993 sedang menjalani rawatan akibat kanser. 

Lebih dikenali sebagai"Diabolik" dan "'U Siccu", Messina Denaro dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana bertanggungjawab ke atas pembunuhan pendakwa raya anti mafia pada 1992, Giovanni Falcone dan Paolo Borsellino.

Jenayah yang dilakukan itu mengejutkan seluruh negara dan mencetuskan tindakan keras terhadap Cosa Nostra. 

Messina Denaro, 60, dibawa keluar dari hospital "La Maddalena" di Palermo oleh dua polis tentera dan dimasukkan ke dalam sebuah van mini berwarna hitam. Dia memakai jaket berbulu coklat, cermin mata dan topi coklat putih. 

Sumber kehakiman berkata Messina Denaro sedang dirawat kerana kanser dan menjalani pembedahan tahun lalu, terlibat dengan beberapa siri pelantikan menggunakan identiti palsu. 

"Kami mempunyai petunjuk kepada siasatan dan mengikutinya sehingga penahanan hari ini," kata pendakwa raya Palermo, Maurizio de Lucia.

Majistret Paolo Guido, yang juga bertanggungjawab dalam siasatan ke atas Messina Denaro, berkata pembongkaran rangkaian pelindungnya adalah kunci kejayaan kepada usaha memberkasnya.

Lelaki kedua yang membawa Messina Denaro ke hospital ditahan di tempat kejadian kerana disyaki membantu seorang pelarian. 

Imej di media sosial menunjukkan penduduk tempatan bertepuk tangan dan bersalaman dengan anggota polis ketika van mini yang membawa Messina Denaro keluar dari hospital ke lokasi rahsia.

Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni pergi ke Sicily untuk mengucapkan tahniah kepada ketua polis selepas penahanan itu. 

"Kita tidak memenangi perang, kita tidak mengalahkan mafia tetapi pertempuran ini adalah pertempuran utama untuk menang, dan ia merupakan tamparan hebat kepada jenayah terancang," katanya. 

Maria Falcone, kakak kepada hakim yang dibunuh, menyuarakan sentimen itu. 

"Ia membuktikan bahawa mafiosi, di sebalik khayalan mereka tentang kuasa besar, akhirnya tewas dalam konflik dengan negara demokrasi," katanya.