- Iklan -
Dunia

100 pelarian Rohingya terkandas, puluhan dikhuatiri maut

Kumpulan aktivis minoriti Rohingya berkata 20 orang dikhuatiri maut akibat kelaparan dan dahaga.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Anggota keselamatan Bangladesh memeriksa pelarian Rohingya yang diselamatkan dari laut selepas bot dinaiki mereka karam di Teknaf pada 4 Oktober. Gambar: AFP
Anggota keselamatan Bangladesh memeriksa pelarian Rohingya yang diselamatkan dari laut selepas bot dinaiki mereka karam di Teknaf pada 4 Oktober. Gambar: AFP

Sekurang-kurangnya 100 etnik Rohingya terkandas di dalam bot di luar Kepulauan Andaman India.

Menurut dua kumpulan aktivis Rohingya, seramai 16 hingga 20 orang dikhuatiri meninggal dunia akibat kehausan, kelaparan atau lemas.

Setiap tahun, ramai daripada pelarian menoriti Islam Rohingya, mempertaruhkan nyawa mereka dengan bot bagi menyelamatkan diri dari tindakan keganasan di Myanmar selain kemelaratan hidup di kem pelarian Bangladesh. 

Ramai pelarian cuba melarikan diri ke Malaysia.

Bot yang terkandas itu ditemui oleh lima kapal India pada Selasa, kata sumber kepada Reuters.

Jurucakap Tentera Laut India berkata setakat ini pihaknya tidak mempunyai sebarang butiran untuk didedahkan. 

"Kami menganggarkan kemungkinan seramai 20 orang telah meninggal dunia... sebahagiannya akibat kelaparan dan haus, dan termasuk mereka yang melompat ke laut kerana terdesak. 

“Apa yang berlaku benar-benar mengerikan dan keterlaluan," kata Chris Lewa, pengarah Projek Arakan yang berperanan untuk membantu pelarian Rohingya Myanmar.

Kumpulan Kerja Rohingya Rangkaian Hak Pelarian Asia Pasifik berkata kumpulan itu telah hanyut selama lebih dua minggu.

"Kami mendengar lewat malam tadi bahawa terdapat beberapa kapal India menghampiri bot itu jadi kami sedang menunggu maklumat terkini sekarang," kata Lilianne Fan, pengerusi Kumpulan Kerja Rohingya Rangkaian Hak Pelarian Asia Pasifik.

"Kami harap Tentera Laut India atau Pengawal Pantai berjaya menyelamatkan dan menurunkan bot itu secepat mungkin. Mereka sudah hanyut di atas bot yang rosak selama lebih dua minggu tanpa makanan dan air," katanya.

Sebuah lagi bot membawa lebih 100 warga Rohingya diselamatkan oleh tentera laut Sri Lanka pada hujung minggu lalu.

Pada 2018, lebih 730,000 Muslim Rohingya melarikan diri ke negara jiran Bangladesh berikutan tindakan keras tentera Myanmar termasuk pembunuhan besar-besaran dan rogol.

Kumpulan hak asasi manusia dan media telah mendokumentasikan pembunuhan orang awam dan pembakaran kampung penempatan minoriti itu.