- Iklan -
Dunia

PBB anjur sidang kemuncak perubahan iklim pada September 2023

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres berkata dunia masih gagal menangani perubahan iklim ketika ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata pakatan perpaduan iklim akan melakukan usaha tambahan untuk mengurangkan pelepasan karbon selaras dengan matlamat 1.5°C dan memastikan sokongan diberikan bagi negara yang memerlukannya. Gambar: AFP
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata pakatan perpaduan iklim akan melakukan usaha tambahan untuk mengurangkan pelepasan karbon selaras dengan matlamat 1.5°C dan memastikan sokongan diberikan bagi negara yang memerlukannya. Gambar: AFP

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres mengumumkan pada Isnin bahawa beliau akan menganjurkan "Climate Ambition Summit" pada September 2023.

Bercakap pada sidang media akhir tahunnya, beliau memberi amaran bahawa dunia masih gagal memerangi perubahan iklim, lapor Agensi Anadolu.

"Matlamat 1.5 darjah Celsius masih samar. Pelan iklim negara semakin berkurangan," katanya sambil merujuk kepada matlamat mengehadkan pemanasan global kepada 1.5°C.

Guterres berkata beliau akan terus mendesak pakatan perpaduan iklim melakukan usaha tambahan untuk mengurangkan pelepasan karbon selaras dengan matlamat 1.5°C dan memastikan sokongan diberikan bagi mereka yang memerlukannya.

Beliau turut menyeru kerajaan, ahli perniagaan, bandar dan masyarakat sivil untuk meningkatkan usaha mereka.

Perjanjian Iklim Paris yang dicapai pada 2015 bertujuan untuk menghadkan pemanasan global di bawah 2°C, sebolehnya mencecah 1.5°C menjelang akhir abad ini.

Inisiatif berkenaan demi memerangi perubahan iklim dan menggesa negara-negara untuk mengurangkan separuh pelepasan karbon mereka menjelang 2030 dan mencapai sifar bersih menjelang 2050.