- Iklan -
Berita

AS cari jalan penuhi kepentingan ekonomi Korea Selatan dengan akta inflasi

Rundingan dua hala akan dibuat dalam pelaksanaan akta tersebut khususnya peruntukan berkaitan kenderaan elektrik.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Penasihat Keselamatan Negara AS Jake Sullivan menjawab pertanyaan wartawan dalam taklimat harian di Rumah Putih, Washington DC pada 12 Disember. Gambar: AFP
Penasihat Keselamatan Negara AS Jake Sullivan menjawab pertanyaan wartawan dalam taklimat harian di Rumah Putih, Washington DC pada 12 Disember. Gambar: AFP

Amerika Syarikat (AS) akan cari jalan untuk memenuhi kepentingan ekonominya serta sekutu dalam melaksanakan akta inflasi baru yang pada masa ini menawarkan faedah cukai hanya untuk kenderaan elektrik yang dipasang di Amerika Utara, kata Penasihat Keselamatan Negara AS Jake Sullivan pada Isnin. 

Sullivan berkata penyelesaian sedemikian akan dibentangkan pada "hari-hari dan minggu akan datang", lapor Yonhap.

"Kami telah mengadakan rundingan meluas dengan Korea mengenai Akta Pengurangan Inflasi, khususnya peruntukan berkaitan kenderaan elektrik," kata penasihat utama keselamatan negara itu dalam taklimat akhbar.

Korea Selatan bersama banyak negara pengeluar kereta Eropah, berulang kali menyatakan kebimbangan terhadap undang-undang baru AS itu yang jika dilaksanakan seperti sedia ada, akan menyebabkan pembeli kenderaan elektrik buatan asing di AS tidak menikmati manfaat cukai, yang seterusnya akan mengurangkan daya saing pengeluar kereta asing.

Sullivan berkata perbincangan dengan Korea Selatan adalah "membina," dengan rundingan dilakukan di "pelbagai peringkat."

"Dan kami yakin boleh menjalin persefahaman dengan kepentingan ekonomi kedua-dua negara akan diambil kira, yang and akan lihat direalisasikan dalam beberapa hari dan minggu akan datang," katanya pada taklimat akhbar itu.

"Ini adalah satu perundangan yang besar dan rumit. Tidak semuanya dapat diselesaikan dalam sehari, seminggu atau sebulan. Namun kami yakin akhirnya akan mencapai pendekatan jangka panjang yang melindungi kepentingan ekonomi dan keperluan pekerja dan perniagaan Amerika dan sekutu kami di Republik Korea," katanya.