- Iklan -
Dunia

Gunung Semeru Indonesia meletus, hampir 2,000 penduduk dipindahkan

Bagaimanapun, tiada sebarang kerosakan atau kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang wanita bersama anaknya di pusat pemindahan sementara selepas Gunung Semeru meletus di Lumajang, Jawa Timur, Indonesia. Gambar: Reuters
Seorang wanita bersama anaknya di pusat pemindahan sementara selepas Gunung Semeru meletus di Lumajang, Jawa Timur, Indonesia. Gambar: Reuters

Gunung berapi Semeru di Lumajang, Jawa Timur meletus pada Ahad dengan kepulan abu panas meluap sehingga 1,500 meter, menurut agensi vulkanologi Indonesia.

Aliran abu panas bergerak sehingga 13km ke tenggara, menyelubungi kawasan berpenduduk di bawah zon letusan dan menyekat cahaya matahari.

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara memindahkan hampir 1,979 penduduk yang tinggal di kampung berdekatan di daerah Lumanjang dan Malang ke 11 pusat perlindungan sementara.

Tiada kerosakan atau kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Menurut Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bahaya Geologi gunung berapi itu meletus sebanyak 13 kali antara 2.46 pagi dan 12 tengah hari waktu tempatan pada Ahad.

Agensi itu menaikkan status amaran gunung berapi kepada tahap IV.

Penduduk dinasihatkan berada 17km dari puncak dan harus mengetahui akan bahaya potensi aliran lava dan awan panas sehingga 19km. 

Gunung Semeru adalah antara gunung berapi paling aktif di Indonesia dan puncak tertinggi di Pulau Jawa dengan ketinggian 3,676 meter.

Kali terakhir gunung itu meletus pada Disember 2021, mengorbankan 69 orang manakala 104 lagi cedera.