- Iklan -
Dunia

Apec seru reformasi struktur, pemulihan hijau pasca Covid-19

Laporan Ekonomi Apec 2022 mendapati perbelanjaan rangsangan fiskal anggota Apec untuk inisiatif hijau agak kecil dan kebanyakan pakej rangsangan dibelanjakan untuk aktiviti perniagaan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pemimpin ekonomi negara anggota Apec bakal bermesyuarat minggu ini di Thailand. Gambar: AFP
Pemimpin ekonomi negara anggota Apec bakal bermesyuarat minggu ini di Thailand. Gambar: AFP

Anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) perlu memulakan pembaharuan struktur lestari dan menggalakkan pemulihan hijau daripada kelembapan ekonomi yang dicetuskan pandemik Covid-19, menurut laporan Apec pada Rabu.

Laporan Ekonomi Apec 2022, yang dikeluarkan menjelang mesyuarat pemimpin ekonomi Apec minggu ini mendapati bahawa perbelanjaan rangsangan fiskal anggota Apec untuk inisiatif hijau agak kecil dan kebanyakan pakej rangsangan dibelanjakan untuk aktiviti perniagaan.

Selain itu laporan berkenaan mendedahkan bahawa tindak balas kerajaan terhadap kejutan ekonomi boleh memberi dorongan dan menggalakkan pemulihan hijau yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan penambahbaikan terhadap alam sekitar, lapor Xinhua.

Jika sektor ekonomi dapat meningkatkan kecekapan, fleksibiliti dan daya tahan melalui pembaharuan struktur, rantau ini akan menjadi lebih kukuh dan lebih berdaya tahan, kata pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Apec, James Ding.

Jawatankuasa Ekonomi Apec menghasilkan laporan itu bersama Unit Sokongan Dasar Apec.

Terdapat keperluan mendesak bagi menangani cabaran alam sekitar di samping menangani pandemik Covid-19, kata beliau. 

Laporan itu mengesyorkan bahawa ahli ekonomi harus melibatkan diri dalam pembinaan kapasiti dan perkongsian pengetahuan seperti membangunkan skim penetapan harga, memahami proses pelaksanaan langkah pengawalseliaan hijau serta mengukuhkan kerjasama antara institusi.

Anggota Apec bersidang sempena Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Apec ke-29, bertemakan "Open, Connect and Balance" yang memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi di rantau ini dan selainnya.