- Iklan -
Dunia

Rishi Sunak dilantik PM Britain hari ini

Beliau dilantik menjadi perdana menteri baru selepas 44 hari Liz Truss mentadbir kerajaan.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Pemimpin baru Parti Konservatif Rishi Sunak di ibu pejabat parti itu di London, Britain pada 24 Oktober. Gambar: Reuters
Pemimpin baru Parti Konservatif Rishi Sunak di ibu pejabat parti itu di London, Britain pada 24 Oktober. Gambar: Reuters

Rishi Sunak yang bakal dilantik sebagai perdana menteri baru Britain hari ini selepas menerajui Konservatif berikrar untuk membawa “kestabilan dan kesatuan” ketika negara itu berdepan krisis ekonomi.

Beliau yang merupakan penganut Hindu menjadi perdana menteri selepas 44 hari Liz Truss mentadbir kerajaan. 

Truss dijangka akan mengadakan mesyuarat Kabinet yang terakhir hari ini sebelum mempersembahkan peletakan jawatannya kepada Raja Charles III yang kemudiannya akan melantik Sunak sebagai perdana menteri.

Sunak juga dijangka menyampaikan perutusan sebagai perdana menteri baru pada jam 11.35 pagi.

Sunak memenangi saingan sebagai pemimpin Konservatif selepas mendapat tentangan dari Penny Mordaunt, saingan terakhirnya dalam parti itu selepas Boris Johnson terkeluar.

Kedua-dua Mordaunt dan Truss berikrar memberikan sokongan penuh mereka kepada Sunak.

Dalam ucapan kemenangannya, Sunak menggesa partinya untuk "bersatu atau mati", menurut ahli Parlimen Tory yang hadir dalam mesyuarat tertutup.

"United Kingdom adalah negara hebat, namun tidak syak lagi bahawa kita sedang menghadapi cabaran besar dalam ekonomi," katanya kepada pemberita.

Beliau turut dilaporkan menolak untuk pilihan raya umum diadakan lebih awal.

Pemimpin dunia, termasuk Perdana Menteri India Narendra Modi, mengucapkan tahniah kepada pemimpin terbaru UK itu.

Perdana Menteri Ireland Micheal Martin pula berkata beliau mengalu-alukan ikrar Sunak dalam usahanya menangani "isu penting yang kita hadapi di pulau-pulau ini" sementara Majlis Eropah Charles Michel menyatakan "bekerjasama adalah satu-satunya cara untuk menghadapi cabaran yang dihadapi bersama.”