- Iklan -
Dunia

Afrika Selatan lobi jadi tuan rumah Piala Dunia Wanita Fifa 2027

Undian Piala Dunia Wanita Fifa 2023 akan berlangsung di Auckland pada Sabtu depan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Penyerang Perancis Marie Antoinette Katoto (tengah) memanaskan badan menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia Wanita Fifa 2023 antara Perancis dan Slovenia di Stadium MMArena, di Le Mans pada 12 April 2022. Gambar: AFP
Penyerang Perancis Marie Antoinette Katoto (tengah) memanaskan badan menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia Wanita Fifa 2023 antara Perancis dan Slovenia di Stadium MMArena, di Le Mans pada 12 April 2022. Gambar: AFP

Afrika Selatan akan menghantar pegawainya ke New Zealand bagi mendapatkan sokongan dalam usaha negara itu membida menjadi tuan rumah Piala Dunia Wanita Fifa 2027, kata Persatuan Bola Sepak Afrika Selatan (Safa) pada Rabu.

Undian Piala Dunia Wanita Fifa 2023 akan berlangsung di Auckland pada Sabtu. Menurut Safa mereka akan menghantar presidennya Danny Jordaan untuk meyakinkan dunia bahawa negara itu mempunyai infrastruktur dan keupayaan untuk menganjurkan kejohanan itu, lapor Xinhua.

"Kami mempunyai infrastruktur, stadium, hotel dan tempat latihan, dan faktor kami sudahpun menganjurkan Piala Dunia membabitkan 32 pasukan pada 2010, banyak membantu. Infrastruktur sudah tersedia dan kami mempunyai kapasiti untuk menjayakannya. Dunia tahu kapasiti kami, mereka telah melihat stadium dan infrastruktur kami," kata Jordaan.

Jawatankuasa Konfederasi Sukan dan Olimpik Afrika Selatan (Sascoc) memberi surat sokongan kepada Jordaan untuk dikemukakan sebagai dokumen sokongan.

"Ia bertujuan untuk mengesahkan bahawa Safa adalah ahli Sascoc dan ahli dalam kedudukan yang baik. Kami mengakui bahawa penganjuran sama ada kejohanan benua atau dunia di Afrika Selatan meletakkan negara pada tahap tertinggi di peringkat global dan menambah nilai kepada ekonomi. Sascoc sepenuhnya menyokong dan menghargai hasrat sedemikian dengan fokus menangani pembangunan dan perkembangan wanita," menurut kandungan surat itu

"Pencapaian Banyana Banyana (pasukan bola sepak wanita kebangsaan Afrika Selatan) baru-baru ini membuktikan komitmen daripada persekutuan anda. Oleh itu, kami berharap untuk Safa membuat pembentangan terbaik dalam usahanya untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia Wanita Fifa 2027," tambahnya.

Chile, Itali, Amerika Syarikat, Mexico dan negara-negara Nordik (Denmark, Finland, Iceland, Norway, dan Sweden) telah menyatakan minat untuk menganjurkan Piala Dunia Wanita Fifa 2027, manakala bidaan Afrika Selatan dan bidaan bersama dari Belgium, Jerman dan Belanda telah disahkan.