- Iklan -
Dunia

Bekas PM Pakistan menang besar dalam PRK di Punjab

Parti Pakistan Tehreek-e-Insaf dipimpin Imran Khan menang enam daripada keseluruhan tujuh kerusi parlimen yang ditandinginya.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri dan pemimpin Parti Pakistan Tehreek-e-Insaf Imran Khan ketika berkempen pada pilihan raya kecil di Karachi, Pakistan. Gambar: AFP
Bekas perdana menteri dan pemimpin Parti Pakistan Tehreek-e-Insaf Imran Khan ketika berkempen pada pilihan raya kecil di Karachi, Pakistan. Gambar: AFP

Bekas perdana Menteri Pakistan Imran Khan menang enam daripada tujuh kerusi parlimen yang ditandinginya pada pilihan raya kecil pada Ahad, mencetuskan minat penyokongnya untuk terus bertanding lebih banyak kerusi.

Undian untuk lapan kerusi dewan negeri dan tiga kerusi wilayah Punjab dilihat sebagai ujian populariti Imran dan partinya Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI).

Walaupun beliau tidak boleh mewakili lebih daripada satu kawasan di parlimen, keputusan Imran untuk bertanding tujuh kerusi hanya sebagai mesej politik.

Parti Imran hanya tewas dua kerusi dewan negeri kepada Parti Rakyat Pakistan (PPP), ahli gabungan pemerintah yang diketuai Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) pimpinan Perdana Menteri Shehbaz Sharif.

Keputusan awal menunjukkan tujuh kerusi parlimen yang ditandinginya, Imran kalah di kawasan Malir Karachi.

PTI juga tewas di satu lagi kerusi penting, Multan, apabila Mehr Bano Quresi, anak perempuan naib pengerusi PTI, Shah Mahmood Qureshi, kalah kepada Ali Musa Gilani, anak bekas perdana menteri Yusuf Raza Gilani.

PML-N memenangi satu kerusi dewan undangan wilayah Punjab manakala dua lagi dimenangi PTI.

Keputusan terkini menunjukkan kempen tanpa henti Imran dalam pelbagai isu menentang pakatan pelbagai parti dikenali Pergerakan Demokratik Pakistan (PDM) ternyata berhasil.

PDM menggulingkan kerajaan PTI di Islamabad melalui undi tidak percaya pada April.

Sejak itu, politik negara berpenduduk 220 juta itu terus bergolak dengan Imran mendakwa lawannya memperoleh kuasa pemerintahan menerusi komplot yang disokong kuasa asing.

Kemenangan beliau adalah simbolik apabila Ahli Parlimen parti itu meletak jawatan beramai-ramai pada 11 April dan tidak menghadiri persidangan sejak Shehbaz menjadi perdana menteri.

Speaker dewan menerima beberapa peletakan jawatan pada Julai.

Pilihan raya perlu diadakan semula selepas Imran meletak jawatan di kerusi yang dimenanginya.

PTI menuntut pilihan raya umum segera diadakan dengan alasan ketidakstabilan politik telah menjejaskan ekonomi negara.

Parti itu memenangi 15 daripada 20 kerusi dewan undangan wilayah Punjab pada pilihan raya kecil Julai lalu.

"Sejak tiga bulan lepas, pilihan raya berlangsung bagi 32 kerusi. PTI memenangi 24 daripada jumlah itu atau 75%. Ini merupakan kemenangan besar," kata ketua kanan PTI Asad Umar pada Isnin.