- Iklan -
Dunia

WTO jangka pertumbuhan perdagangan dunia perlahan tahun depan

Pertubuhan Perdagangan Dunia menganggarkan keluaran dalam negara kasar dunia pada kadar pertukaran pasaran akan berkembang 2.8% pada 2022 dan 2.3% pada 2023.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai menyeberang sebuah jambatan di kawasan utama perniagaan Singapura pada 25 Jun 2021. Gambar: AFP
Orang ramai menyeberang sebuah jambatan di kawasan utama perniagaan Singapura pada 25 Jun 2021. Gambar: AFP

Perdagangan dunia dijangkakan hilang momentum pada separuh kedua 2022 dan kekal lemah pada 2023 ketika pelbagai kejutan membebani ekonomi global, lapor Xinhua memetik Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) pada Rabu.

Ahli ekonomi WTO dalam kenyataan itu menyebut bahawa jumlah dagangan barangan global akan berkembang sebanyak 3.5% pada 2022 - lebih baik sedikit daripada unjuran 3.0% pada April.

Namun, untuk 2023 mereka mengunjurkan peningkatan 1.0% turun mendadak daripada anggaran sebelumnya sebanyak 3.4%.

WTO dalam unjuran barunya menganggarkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dunia pada kadar pertukaran pasaran akan berkembang 2.8% pada 2022 dan 2.3% pada 2023 - dengan unjuran untuk 2023 adalah 1.0 mata peratusan lebih rendah daripada jangkaan sebelumnya.

Dalam unjuran April, ahli ekonomi WTO bergantung kepada simulasi untuk menjana unjuran pertumbuhan yang munasabah memandangkan konflik Ukraine baru sahaja bermula dan kesannya masih tidak diketahui.

Bagaimanapun, ahli ekonomi WTO pada Rabu berkata anggaran April 2023 kini dilihat lebih optimistik.

Sejak itu, harga tenaga telah meningkat mendadak, inflasi menjadi lebih meluas dan konflik terbabit masih tidak menunjukkan tanda untuk berakhir.

Pakar ekonomi menjelaskan bahawa permintaan import dijangka berkurangan berikutan pertumbuhan perlahan dalam ekonomi utama atas pelbagai sebab.

Harga tenaga yang tinggi berpunca daripada konflik Rusia-Ukraine akan mengetatkan perbelanjaan isi rumah dan meningkatkan kos pembuatan di Eropah manakala pengetatan dasar monetari akan menjejaskan perbelanjaan yang sensitif kepada kadar faedah dalam bidang seperti perumahan, kenderaan bermotor dan pelaburan tetap di Amerika Syarikat.

Bil import bahan api, makanan dan baja yang semakin meningkat boleh menyebabkan ketakjaminan makanan selain masalah bebanan hutang di negara membangun.

"Penggubal dasar berhadapan dengan tidak banyak pilihan kerana mereka perlu mencari keseimbangan optimum antara menangani inflasi, mengekalkan guna tenaga penuh dan memajukan matlamat dasar penting seperti peralihan kepada tenaga bersih.

"Perdagangan adalah alat penting untuk meningkatkan bekalan global bagi barangan dan perkhidmatan, serta untuk mengurangkan kos mendapatkan pelepasan karbon bersih-sifar," kata Ketua Pengarah WTO Ngozi Okonjo-Iweala.

Beliau berkata walaupun sekatan perdagangan mungkin merupakan tindak balas terbaik untuk menangani kekurangan bekalan yang terdedah oleh kejutan sejak dua tahun lepas, pemberhentian rantaian bekalan global hanya akan meningkatkan tekanan inflasi yang  membawa kepada pertumbuhan ekonomi  lebih perlahan dan menjejasakan taraf hidup.