- Iklan -
Dunia

Peningkatan kos bahan api bimbangkan Eropah

Krisis bahan api meletakkan ekonomi negara-negara Eropah pada risiko 'lumpuh'.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang wanita membawa beg di sebuah pekan Bratislava pada 25 November. Gambar: AFP
Seorang wanita membawa beg di sebuah pekan Bratislava pada 25 November. Gambar: AFP

Kebimbangan terus melanda negara-negara di Eropah ekoran kos bahan api yang semakin meningkat menjelang musim sejuk, lapor Agensi Anadolu.

Krisis bahan api meletakkan ekonomi Slovakia pada risiko “lumpuh”,  menurut perdana menterinya dalam temu bual yang disiarkan pada Rabu.

Eduard Heger memberitahu Financial Times bahawa Bratislava memerlukan sokongan Kesatuan Eropah, atau krisis itu akan melumpuhkan ekonomi negaranya akibat perang Rusia di Ukraine.

Heger memberi amaran bahawa beliau mungkin perlu merasionalisasikan bekalan tenaga negaranya jika Brussels tidak memberikan sokongan.

Beliau juga mahu EU mengeluarkan €5 bilion (AS$4.8 bilion) "dana pembangunan wilayah yang tidak digunakan" untuk membantu menurunkan bil tenaga bagi sektor perniagaan.

"Jika tidak (perniagaan Slovakia) akan ditutup dan keadaan ini sebenarnya boleh meruntuhkan keseluruhan ekonomi," kata Heger.

Kenyataan daripada seorang pemimpin EU berhubung krisis tenaga di Eropah itu dibuat selepas Rusia mengurangkan sejumlah besar bekalan gas asli ke Eropah sebagai tindak balas terhadap sekatan yang dikenakan ke atas Moscow berhubung perangnya ke atas Ukraine.

Di Jerman, tinjauan pada Rabu juga mendapati kebanyakan perusahaan kecil dan sederhana berhadapan isu yang sama ekoran krisis tenaga,

Kira-kira 52% daripada syarikat berkata kenaikan harga menyukarkan kelangsungan hidup mereka, menurut tinjauan Persatuan Perniagaan Kecil dan Sederhana Jerman (BVMW) minggu ini melibatkan lebih 1,100 syarikat.

Dalam tinjauan serupa pada Ogos, angka itu ialah 42%, lapor kumpulan media Redaktionsnetzwerk Deutschland.

Pengerusi eksekutif BVMW, Markus Jerger, menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan segera, dengan mencadangkan dana kecemasan berjumlah €15 bilion (AS$14.5 bilion) disediakan untuk perniagaan kecil dan sederhana

Di Switzerland, bagi mengekang penggunaan tenaga negara, pemimpin Green Party Balthasar Glattli menggesa pelaksanaan had laju 80km sejam (km/j) di lebuh raya.

"Pengurangan kelajuan penting untuk menjimatkan tenaga. Agensi Tenaga Antarabangsa juga menyatakan perkara yang sama," kata Glattli kepada portal berita nau.ch pada Rabu.

Pada masa ini, had laju di lebuh raya di Switzerland ialah 120 km/j.

Setakat ini cadangan Glattli tidak mendapat sokongan kerajaan persekutuan Switzerland serta kelab automotif.

Penggubal undang-undang Thomas Hurter dari Parti Rakyat Switzerland yang berhaluan kanan, berkata pengurangan had laju kepada 100 km/j bagi menjimatkan tenaga "sama sekali tidak masuk akal dan merupakan gangguan kepada pemandu."

Sementara itu, pada Selasa Menteri Kewangan Perancis Bruno Le Maire berjanji untuk tidak memakai baju rasmi dan tali lehernya sebaliknya memilih kardigan kolar leher penyu yang hangat, dalam usaha menjimatkan tenaga.

“Anda tidak lagi akan melihat saya memakai tali leher, yang saya rasa baik. Ini akan membolehkan kami menjimatkan tenaga, untuk menunjukkan ketenangan," kata menteri itu di radio France Inter. Beliau turut berkongsi gambar dirinya di Twitter memakai baju kolar leher penyu berwarna hitam.

Beliau berkata kementeriannya di Paris "tidak akan memasang alat pemanas sehingga suhu turun di bawah 19C."

Banyak negara Eropah berhadapan kekurangan bahan api sejak Rusia mengurangkan bekalan gas asli ke Eropah sebagai tindak balas terhadap sekatan yang dikenakan ke atas negara itu ekoran perang Moscow ke atas Ukraine.

Rusia menghentikan sementara penghantaran gas melalui saluran paip Nord Stream 1 awal bulan ini, dan pegawai Rusia berkata sekatan Barat itu menghalang kerja-kerjan penyelenggaraan turbin.