- Iklan -
Dunia

AS bentang strategi di kepulauan Pasifik pada sidang kemuncak di Washington

Dokumen strategi itu bertujuan menangani kebimbangan dan objektif di Pasifik secara menyeluruh, termasuk isu perubahan iklim, latihan, perikanan dan pelaburan dalam teknologi.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Nelayan memeriksa pukat di sebuah pengkalan laut di Banda Aceh pada 2 September. Gambar: AFP
Nelayan memeriksa pukat di sebuah pengkalan laut di Banda Aceh pada 2 September. Gambar: AFP

Amerika Syarikat (AS) akan membentangkan Strategi AS-Kepulauan Pasifik pada Rabu, pertama seumpamanya, untuk disemak bersama oleh para pemimpin negara-negara dari rantau itu pada sidang kemuncak bersejarah yang dihoskan oleh Presiden Joe Biden, lapor Sputnik, memetik seorang pegawai pentadbiran.

Pentadbiran Biden menjadi tuan rumah para pemimpin negara kepulauan Pasifik di Washington, DC, pada Rabu dan Khamis, sidang kemuncak khusus bagi meningkatkan penglibatan AS dengan pemimpin rantau itu dalam bidang perdagangan dan keselamatan.

Ada banyak pengumumkan dijangka dibuat sepanjang dua hari itu, kata pegawai berkenaan.

Sidang Kemuncak AS-Negara Kepulauan Pasifik pertama itu akan dihadiri pemimpin dari Fiji, Marshall Islands, Micronesia, Palau, Papua New Guinea, Samoa, Solomon Islands, Tonga, Tuvalu, Cook Islands, Polinesia Perancis dan New Caledonia, menurut pegawai berkenaan.

Beliau berkata Vanuatu dan Nauru, akan menghantar wakil manakala Australia, New Zealand, dan Setiausaha Agung Forum Kepulauan Pasifik hadir sebagai pemerhati.

Dokumen strategi itu antara lain bertujuan menangani kebimbangan dan objektif di Pasifik secara menyeluruh, termasuk usaha kerajaan AS dalam menangani isu seperti perubahan iklim, latihan, perikanan, pelaburan dalam teknologi, serta beberapa topik lain, kata pegawai itu.

Pemimpin negara Kepulauan Pasifik akan bertemu pegawai Jabatan Negara pada Rabu, diikuti pertemuan dengan Presiden AS Joe Biden serta pemimpin kongres AS pada Khamis, kata pegawai itu.

Di Dewan Perniagaan AS pula, mereka akan mengadakan pertemuan dengan kumpulan perniagaan AS bagi membincangkan potensi perniagaan dalam sektor pelancongan dan kembara, tenaga serta teknologi dan bagaimana kumpulan itu boleh terlibat secara lebih aktif dengan negara kepulauan berkenaan.

Pada Selasa, media Australia melaporkan bahawa Solomon Islands tidak akan menandatangani perisytiharan 11 perkara yang dijangka dimeterai oleh AS dan rakan Pasifiknya semasa sidang kemuncak itu.

Sebagai respons kepada laporan itu, seorang pegawai AS berkata rundingan negara itu dengan rakan Pasifiknya berjalan dengan baik, namun ada lagi banyak kerja yang perlu dilakukan. Terdapat pertindihan antara apa yang ingin dicapai dan dilakukan oleh AS pada masa hadapan dengan apa yang diharapkan oleh para pemimpin kepulauan Pasifik, kata pegawai AS itu.

Beliau turut mengesahkan bahawa Perdana Menteri Solomon Islands Manasseh Sogavare sudah berada di Washington untuk menghadiri sidang kemuncak itu.