- Iklan -
Dunia

Raja Saudi lantik putera mahkota sebagai perdana menteri

Pelantikan Mohammed bin Salman ke jawatan itu dilihat selari dengan delegasi tugas yang dipegangnya sejak dilantik menjadi putera mahkota Arab Saudi.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Putera Mahkota Mohammed bin Salman kini menjadi perdana menteri Arab Saudi. Gambar: AFP
Putera Mahkota Mohammed bin Salman kini menjadi perdana menteri Arab Saudi. Gambar: AFP

Raja Arab Saudi Salman bin Abdulaziz menamakan Putera Mahkota Mohammed bin Salman sebagai perdana menteri dan putera keduanya Khalid sebagai menteri pertahanan pada Selasa.

Rombakan itu mengekalkan seorang lagi anak lelakinya, Putera Abdulaziz bin Salman, sebagai menteri tenaga.

Dalam pada itu Menteri Luar Putera Faisal bin Farhan Al Saud, Menteri Kewangan Mohammed al-Jadaan dan Menteri Pelaburan Khalid al-Falih juga turut dikekalkan.

Menurut sumber kerajaan, peranan baru Mohammed atau lebih dikenali sebagai MbS sebagai perdana menteri dilihat selari dengan delegasi tugas raja sebelum ini, termasuk mewakili kerajaan dalam lawatan asing dan mempengerusikan sidang kemuncak yang dihoskan oleh kerajaan.

"Putera mahkota, berdasarkan titah raja, sudah menyelia badan eksekutif utama negara setiap hari, dan peranan barunya sebagai perdana menteri adalah dalam konteks itu," kata sumber itu lagi.

Menurutnya, delegasi tugas sedemikian pernah berlaku dalam kerajaan beberapa kali sebelum ini.

Bagaimanapun, Raja Salman masih mempengerusikan mesyuarat Kabinet yang dihadirinya. 

Raja berusia 86 tahun itu ditabalkan pada 2015 selepas menjadi putera mahkota selebih lebih dua tahun. 

Sejak dua tahun lalu, baginda dimasukkan ke hospital beberapa kerana pelbagai penyakit.

Putera Mahkota Mohammed dilihat menjadi pemimpin yang banyak mengubah struktur ekonomi Arab Saudi sejak berkuasa pada 2017.

Beliau mengetuai usaha mempelbagaikan sumber ekonomi daripada hanya bergantung kepada sumber minyak, selain turut membenarkan golongan wanita memandu dan mengekang kuasa ulama.

Namun usahanya turut terpalit dengan tindakan keras terhadap pihak yang berbeza pandangan dengannya, di mana aktivis, kerabat diraja, aktivis hak wanita dan ahli perniagaan dipenjarakan.

Pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi di konsulat negara itu di Istanbul pada 2018 turut dilihat mencemarkan reputasinya selain merenggangkan hubungan negara itu dengan Amerika Syarikat dan sekutu Barat yang lain.