- Iklan -
Dunia

Turkiye, Qatar ucap takziah atas pemergian Qaradawi

Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan berkata ulama terkenal itu tidak pernah berhenti meyakini apa yang beliau percaya dan menjadi contoh untuk diikuti dalam mendamaikan prinsip Islam dan kehidupan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ulama terkenal Yusuf al Qaradawi dalam sebuah forum membincangkan isu Palestin di Qatar pada 2014. Gambar: AFP
Ulama terkenal Yusuf al Qaradawi dalam sebuah forum membincangkan isu Palestin di Qatar pada 2014. Gambar: AFP

Turkiye, Qatar dan beberapa orang kenamaan dari negara-negara Arab dan Islam menyifatkan pemergian ulama tersohor Sheikh Yusuf al Qaradawi sebagai satu kehilangan besar bagi umat Islam dunia.

Menurut Agensi Anadolu, anak lelaki Qaradawi, Abdul Rahman Yusuf dalam perbualan telefon dengan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan berkata Qaradawi tidak pernah berhenti meyakini apa yang beliau percayai, dan beliau adalah contoh terbaik untuk diikuti dalam mendamaikan prinsip Islam dan kehidupan.

“Semoga Allah SWT memuliakannya di syurga dan merahmatinya,” katanya lagi.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed bin Abdul Rahman Al-Thani mengucapkan takziah kepada keluarga Qaradawi atas pemergian ulama itu.

“Beliau telah menghabiskan hidupnya untuk berkhidmat demi agama dan negara”, tambah beliau.

Kementerian Wakaf Qatar dalam satu kenyataan pada Isnin menyatakan negara-negara Arab dan umat Islam telah kehilangan seorang ulama dihormati yang mempertahankan isu-isu Islam, dan mempunyai impak besar dalam menyebarkan syariat Islam, serta berdakwah dengan hikmah berlandaskan prinsip kesederhanaan.

Di Pakistan, Emir Jamaat-e-Islami, Siraj ul Haq, dalam ciapan Twitter beliau berkata Qaradawi telah mendedikasikan hidupnya untuk berkhidmat kepada Islam, pendidikan, advokasi, dan membela kepentingan negara.

Di Tunisia, ketua parti Ennahda, Rashid Ghannouchi dalam kenyataan beliau di Twitter menegaskan Qaradawi telah bertungkus lumus dalam menegakkan hukum Islam sepanjang hidupnya.

“Prinsip Wasatiyyah dan kesederhaan dalam kehidupan juga menjadi fokus beliau ketika hayatnya”, katanya.

Di Malaysia, Menteri Luar Saifuddin Abdullah turut bersedih dengan pemergian Qaradawi.

"Beliau ilmuwan-aktivis ulung yang amat penting dalam pemikiran dan gerakan Islam seluruh dunia. Al-Fathihah,"kata beliau,.

Pada masa sama, senator Zulkifli Mohamad al-Bakri dalam kenyataan beliau di Facebook rasmi menyifatkan Qaradawi adalah antara syeikhul ummah yang menjadi panutan umat Islam di seluruh dunia.

“Tidak keterlaluan saya katakan para ulama pada hari ini kebanyakannya memanfaatkan jujukan karyanya yang amat bermanfaat kepada ummah. Kesemuanya terhutang budi dengan ilmu beliau di mana sebahagian besar hidupnya telah diwaqafkan untuk ummah”, tambah bekas bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu.

Beberapa pemimpin parti Islam dan politik turut mengucapkan takziah termasuk Hamas, keluarga bekas Presiden Mesir Mohamed Morsi, bekas Presiden Kesatuan Ulama Muslim Antarabangsa Ahmad al-Raysuni dan lain-lain.

Ulama tersohor Yusuf Qaradawi meninggal dunia pada Isnin pada usia 97 tahun. Warga Mesir itu menetap di Qatar dan merupakan pengerusi Kesatuan Antarabangsa Cendekiawan Islam, serta mursyidul am Ikhwanul Muslimin.  

Jenazah disembahyangkan hari ini di Masjid Imam Muhammad bin Abdul Wahhab, dan akan dikebumikan di tanah perkuburan Mesaimeer, Qatar.