- Iklan -
Dunia

Isteri presiden Ukraine kunjungi setiausaha agung PBB

Bagaimanapun, butiran perbincangannya dengan Antonio Guterres tidak dapat disahkan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ukraine Denys Shmyhal (kiri), Wanita Pertama Ukraine Olena Zelenska (tengah) dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres bergambar sebelum mesyuarat Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York pada 20 September 2022. Gambar: AFP
Perdana Menteri Ukraine Denys Shmyhal (kiri), Wanita Pertama Ukraine Olena Zelenska (tengah) dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres bergambar sebelum mesyuarat Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York pada 20 September 2022. Gambar: AFP

Olena Zelenska, isteri Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy, mengunjungi Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres pada Selasa.

Zelenska diiringi oleh Perdana Menteri Ukraine Denys Shmyhal. Menurut petugas PBB, pertemuan mereka berlangsung selama kira-kira sejam.

Topik perbincangan dengan Guterres tidak dapat disahkan kerana delegasi Ukraine enggan mengulas.

Suami Zelenska tidak menghadiri sesi ke-77 Perhimpunan Agung Pertubuhan PBB di New York dan ucapannya dibuat menerusi rakaman video.

Zelenska dijangka merasmikan pameran pada Rabu. Diplomat memberitahu Sputnik bahawa beliau  mungkin duduk di Dewan Perhimpunan Agung semasa ucapan suaminya disiarkan pada Rabu.

PBB mengesahkan Guterres bertemu Shmyhal dan Zelenska pada Selasa.

"Setiausaha agung bertemu dengan Denys Shmygal, perdana menteri Ukraine, dan Olena Zelenska, wanita pertama Ukraine," katanya sambil menambah bahawa setiausaha agung dan perdana menteri membincangkan konflik di Ukraine, termasuk kesannya terhadap situasi kemanusiaan, hak asasi manusia, dan keselamatan nuklear di negara itu.

“Wanita pertama itu membincangkan kepentingan melindungi wanita dan kanak-kanak Ukraine yang terjejas akibat perang. Setiausaha Agung mengulangi sokongan penuh PBB untuk terus memberikan bantuan kemanusiaan.

"Setiausaha agung turut memuji Ukraine atas penglibatan berterusannya dalam pelaksanaan inisiatif Bijian Laut Hitam, dan mengulangi kesediaan PBB untuk meneruskan usahanya bagi mengelak krisis makanan global," kata PBB.