- Iklan -
Dunia

PBB lancar kemudahan kewangan antarabangsa untuk pendidikan

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres berkata sejak pandemik, dua pertiga negara mengurangkan belanjawan pendidikan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Murid sekolah dalam kelas bersama guru di Colombo pada 21 Oktober 2021. Gambar: AFP
Murid sekolah dalam kelas bersama guru di Colombo pada 21 Oktober 2021. Gambar: AFP

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres dan utusan khas bagi pendidikan global, Gordon Brown, pada Sabtu melancarkan Kemudahan Kewangan Antarabangsa untuk Pendidikan (IFFEd) bernilai berbilion dolar.

Menjangkakan projek pertamanya pada 2023, IFFEd akan menyokong pelaburan pendidikan dan pembangunan kemahiran di negara berpendapatan sederhana-rendah. Dengan pembiayaan awal AS$2 bilion, kemudahan itu dijangka berkembang kepada AS$10 bilion menjelang 2030, lapor Xinhua.

Dalam satu sidang akhbar bersama, Guterres berkata sejak pandemik Covid-19 bermula, dua pertiga negara telah mengurangkan belanjawan pendidikan mereka, tetapi pendidikan adalah blok masyarakat yang aman, makmur dan stabil. 

"Mengurangkan pelaburan bermakna membenarkan krisis yang lebih serius berterusan. Kita perlu mendapatkan lebih banyak dana ke dalam sistem pendidikan, bukan mengurangkannya."

Negara-negara kaya boleh meningkatkan pembiayaan daripada sumber domestik mereka, tetapi banyak negara membangun sedang dilanda krisis kos sara hidup, dan memerlukan sokongan segera untuk pendidikan, kata Guterres, sambil menambah bahawa inilah peranan IFFEd.

Kemudahan itu bertujuan untuk mendapatkan pembiayaan buat negara berpendapatan sederhana- rendah. Menyediakan rumah kepada separuh daripada kanak-kanak dan belia dunia serta majoriti kanak-kanak yang tidak berumah dan pelarian dunia, katanya.

IFFEd bukanlah dana baru, tetapi satu mekanisme untuk meningkatkan sumber yang tersedia kepada bank pelbagai hala untuk menyediakan kemudahan kewangan pendidikan kos rendah. Ia akan melengkapkan dan bekerjasama dengan wadah sedia ada yang menyediakan geran dan bantuan lain, kata Guterres. Beliau juga menggesa semua penderma antarabangsa dan organisasi dermawan untuk menyokong IFFEd.

Brown berkata IFFEd adalah untuk menangani krisis apabila 260 juta kanak-kanak di usia persekolahan yang keciciran sekolah, 400 juta kanak-kanak pada usia 11 tahun tidak boleh membaca atau menulis dan tercicir daripada pendidikan, 840 juta kanak-kanak dan orang muda yang meninggalkan pendidikan dalam usia remaja, tidak mempunyai kelayakan di tempat kerja pada masa depan.

"Dari masa ke masa, kami menjangkakan dana ini akan berkembang daripada AS$2 bilion pada awalnya, kepada AS$5 bilion dan meningkat kepada AS$10 bilion. Bermaksud, hari ini dunia menyaksikan kami mengumumkan pelaburan tunggal terbesar dalam pendidikan global, dan kami percaya ia boleh mengubah prospek berjuta-juta kanak-kanak," katanya.