- Iklan -
Dunia

Bekas paderi dihukum penjara 30 tahun kes amang seksual kanak-kanak

Mahkamah turut mengarahkan lelaki itu membayar denda hampir 53,000 euro dan pampasan 2,000 euro kepada setiap mangsa.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang bapa mendukung anaknya melihat figura Jesus Christ di Geraja San Esteban, Seville pada 30 Mac 2021. Gambar: AFP
Seorang bapa mendukung anaknya melihat figura Jesus Christ di Geraja San Esteban, Seville pada 30 Mac 2021. Gambar: AFP

Mahkamah Agung Sepanyol pada Selasa menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun kepada bekas paderi kerana melakukan amang seksual terhadap tujuh kanak-kanak bawah umur di sebuah sekolah asrama Katolik sedekad lalu ketika dia bekerja sebagai tutor mereka.

Dakwaan penderaan kanak-kanak oleh paderi Katolik dan kemungkinan penyembunyian jenayah itu oleh gereja telah timbul sejak beberapa bulan kebelakangan ini di Sepanyol, beberapa tahun selepas skandal serupa menggegarkan gereja di negara lain seperti AS, Ireland dan Perancis.

Pegawai gereja tidak memberikan ulasan segera mengenai perkara tersebut. 

Bekas paderi itu juga menafikan salah laku jenayah yang sama sebelum ini.

Pihak berkuasa agama di wilayah Ciudad Real menggugurkan jawatan paderi itu pada 2019 dan melaporkan kes itu kepada pendakwa raya selepas siasatan dalaman dilakukan.

Dalam keputusannya, mahkamah berkata paderi itu menyalahgunakan kedudukannya untuk menyentuh kemaluan kanak-kanak lelaki secara tidak wajar, contohnya ketika berpura-pura bermain di kolam renang, atau di dalam bilik persendirian dengan alasan "rawatan" perubatan.

Mahkamah memutuskan sentuhan itu adalah “jelas bersifat seksual". 

Mahkamah turut mengarahkan lelaki itu membayar denda sebanyak 52,920 euro dan pampasan sebanyak 2,000 euro kepada setiap mangsa.

Pada Disember, Akhbar El Pais melaporkan lebih 1,200 kes dakwaan berkait penderaan dilakukan paderi dalam tempoh tujuh dekad, di mana parlimen Sepanyol mengarahkan siasatan dijalankan.

Pada Selasa, pegawai penyiasat parlimen, Angel Gabilondo berkata bahawa pejabatnya telah membantu 201 mangsa, yang kebanyakannya lelaki selepas dua bulan pertama siasatan dijalankan. 

Menurut Gabilondo, hasil siasatan akan dibentangkan kepada parlimen.

"Kami berpuas hati dengan bilangan saksi yang tampil dan dengan jumlah mangsa yang bertemu dengan kami, namun apa yang lebih penting dan membimbangkan kami, bukan jumlah bilangan itu, ia adalah untuk mendengar mangsa dengan penuh hormat, serius dan secara rahsia," katanya.

Pada awal tahun ini, Gereja Katolik Sepanyol berkata pihaknya amat sedih dengan kes penderaan melibatkan kanak-kanak dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa secara telus, selain memberikan bantuan dan ganti rugi kepada mangsa.