- Iklan -
Dunia

Korban gempa bumi di Sichuan lepasi 80 orang

Gempa bumi itu telah memusnahkan rangkaian elektrik dan merosakkan beberapa kediaman serta infrastruktur.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Anggota penyelamat menurunkan seorang mangsa gempa bumi di Sichuan, China. Gambar: AFP
Anggota penyelamat menurunkan seorang mangsa gempa bumi di Sichuan, China. Gambar: AFP

Angka korban akibat gempa bumi yang melanda wilayah Sichuan di barat daya China telah mencecah 82 orang manakala lebih 270 orang lagi cedera, lapor Sputnik, memetik China Central Television (CCTV) pada Khamis.

Pusat Rangkaian Gempa Bumi China merekodkan gempa bumi berukuran 6.8 pada skala Richter pada Isnin.

Gempa bumi itu telah memusnahkan rangkaian elektrik dan merosakkan beberapa kediaman serta infrastruktur.

Pihak berkuasa tempatan telah memindahkan lebih 10,600 penduduk dari kawasan terjejas. Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.

Wilayah Sichuan antara wilayah paling kerap dilanda gempa bumi di China.

Pada Mei 2008, gempa bumi berukuran 8.2 pada skala Richter melanda kawasan terbabit hingga menyebabkan 87,150 orang terkorban atau hilang, manakala 374,000 lagi cedera dan berjuta-juta lagi hilang tempat tinggal.

Kerosakan infrastruktur dianggarkan melebihi 1 trilion yuan (AS$144 bilion).