- Iklan -
Dunia

Bekas pengerusi Tata Sons Cyrus Mistry meninggal dunia dalam nahas jalan raya

Kemalangan berlaku di Palghar kira-kira 100km di utara Mumbai

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas pengerusi Tata Sons Cyrus Mistry. Gambar: AFP
Bekas pengerusi Tata Sons Cyrus Mistry. Gambar: AFP

Cyrus Mistry, bekas pengerusi konglomerat India Tata Sons meninggal dunia pada usia 54 tahun, dalam kemalangan jalan raya berhampiran Mumbai pada Ahad, kata polis India.

Mistry merupakan bekas pengerusi Tata Sons, syarikat induk konglomerat Tata bernilai AS$300 bilion.

Namun beliau kemudiannya digulingkan dalam rampasan kuasa lembaga pengarah pada 2016, mencetuskan pertikaian undang-undang yang berlarutan di mana pada akhirnya mahkamah India membuat keputusan yang memihak kepada Tata Group.

Nahas maut itu berlaku di Palghar kira-kira 100km di utara Mumbai, pada petang Ahad. 

Mistry dalam perjalanan ke Mumbai dari Gujarat bersama tiga lagi mangsa, kata Ketua Polis Palghar B Patil.

Seorang pegawai kanan polis Mumbai berkata kereta yang dinaiki Mistry telah merempuh pembahagi pembahagi jalan dan beliau meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Beberapa ahli politik dan ahli perniagaan terkemuka mengucapkan takziah mereka melalui Twitter selepas berita kematian Mistry dilaporkan. 

Perdana Menteri Narendra Modi menyifatkan kematian Mistry tidak dijangka dan mengejutkan.

"Beliau adalah seorang pemimpin perniagaan yang percaya dengan kehebatan ekonomi India. Pemergiannya adalah satu kehilangan besar kepada dunia perdagangan dan industri," ciap Modi.

Keluarga Mistry dan Tata Sons masih tidak memberikan sebarang ulasan mengenai kematian beliau.

Tata Consultancy Services, di mana Tata Sons memiliki pegangan majoriti, berkata pihak bersedih atas kematian bekas pengerusinya, di samping mengucapkan takziah dan doa kepada keluarga dan rakan-rakannya.

"Beliau seorang yang lembut, peramah dan mesra di mana beliau membina hubungan kukuh dengan keluarga TCS semasa beliau menjadi pengerusi syarikat," kata TCS dalam satu kenyataan.

Mistry ialah pengerusi keenam kumpulan Tata, sebuah konglomerat yang ditubuhkan lebih 150 tahun lalu. 

Datuk kepada Mistry membeli saham Tata Sons pada 1930-an. 

Kumpulan Shapoorji Pallonji (SP), yang diasaskan oleh bapa Mistry, kini memegang hampir 18% kepentingan, menjadikannya pemegang saham tunggal terbesar dalam firma yang kebanyakannya dikawal oleh pemegang amanah.