- Iklan -
Dunia

Bedilan di loji nuklear Zaporizhzhia cetus kebimbangan pencemaran radiasi

Loji yang masih dikendalikan kakitangan Ukraine itu ditawan Rusia pada Mac dan kni menjadi kawasan panas antara Moscow dan Kyiv.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar diambil pada 18 Julai menunjukkan bendera Rusia berkibar di Melitopol, Zaporizhzhia, ketika pencerobohan Rusia ke atas Ukraine terus berlanjutan. Gambar: AFP
Gambar diambil pada 18 Julai menunjukkan bendera Rusia berkibar di Melitopol, Zaporizhzhia, ketika pencerobohan Rusia ke atas Ukraine terus berlanjutan. Gambar: AFP

Tembakan artileri Rusia masih diteruskan ke arah bandar Ukraine di seberang sungai yang menempatkan loji jana kuasa nuklear Zaporizhzhia semalam, kata pegawai tempatan.

Pihak berkuasa juga berkata tindakan itu menambah kesengsaraan penduduk apabila laporan mengenai beberapa bedilan jatuh dalam perkarangan loji itu mencetuskan kebimbangan berlakunya bencana radiasi.

Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan Rusia pula sebaliknya mendakwa terdapat lebih banyak serangan Ukraine terhadap loji itu dalam tempoh 24 jam lalu, hanya sehari selepas Moscow dan Kyiv saling mengenai pihak yang menyerang loji nuklear terbesar di Eropah itu.

Syarikat nuklear Ukraine, Energoatom, berkata mereka tidak mempunyai maklumat baru mengenai serangan ke atas loji itu. 

Serangan di loji itu telah menimbulkan kebimbangan serius pada peringkat antarabangsa.

Kompleks loji jana kuasa nuklear itu ditawan tentera Rusia pada Mac lalu, namun masih dikendalikan kakitangan Ukraine dan menjadi salah satu kawasan panas utama dalam konflik selama enam bulan sejak Rusia menceroboh Ukraine.

Dalam sebuah kenyataan, Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) berkata Moscow tidak mahu mengakui risiko radiologi yang serius di loji Zaporizhzhia dan menyekat deraf perjanjian menghentikan pembangunan nuklear kerana ia menyentuh mengenai risiko berkenaan.

Gabenor wilayah, Oleksandr Starukh, melalui Telegram semalam, berkata tentera Rusia menyerang bangunan kediaman di bandar utama wilayah Zaporizhzhia, yang terletak kira-kira dua jam perjalanan dari loji itu dan bandar Orikhiv yang lebih jauh ke timur.

Pada Sabtu, Starukh memberitahu televisyen Ukraine yang penduduk sedang diajar cara menggunakan iodin sebagai rawatan, jika berlaku kebocoran radiasi.

Tentera Ukraine melaporkan membedil sembilan lagi bandar di kawasan seberang sungai Dnipro dari loji berkenaan dalam laporan hariannya, manakala agensi berita RIA Rusia memetik kementerian pertahanan negara itu sebagai berkata, tentera udaranya menyerang loji Motor Sich, tempat membaiki helikopter.

Menurut laporan RIA, pihak berkuasa Rusia berkata mereka menjatuhkan dron Ukraine yang merancang untuk menyerang kemudahan penyimpanan sisa nuklear di loji terbabit. 

Bagaimanapun, Reuters tidak dapat mengesahkan laporan tersebut.